August 19, 2009

Rakyat Selangor Dipelawa Sertai Majlis Dialog Bajet 2010

SHAH ALAM, 19 Ogos - Kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Dialog Bajet 2010 bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk turut serta dalam perbincangan belanjawan negeri bagi tahun 2010.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia bertujuan menyediakan kertas belanjawan yang akan dibentangkan di dewan negeri Selangor pada persidangan dewan akan datang.
“Dengan cara ini, kita akan mengadakan Majlis Dialog Belanjawan dan mengambil kira pandangan dan cadangan masyarakat negeri Selangor.
“Tujuan majlis dialog ini untuk menyediakan kertas belanjawan yang dibentangkan di dewan negeri Selangor pada persidangan November tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Tan Sri Khalid berkata, jika ada persatuan yang ingin turut serta dalam perbincangan belanjawan tersebut, mereka boleh menghubungi Pejabat Menteri Besar atau Pejabat Kewangan Negeri Selangor.
Dialog berkenaan akan diadakan pada 12 dan 13 Oktober depan di Selangor Convention Centre, Shah Alam.

No comments: