December 26, 2008

HARAPAN TINGGI TERHADAP PENGURUS BESAR PKNS YANG BARU

Saya dilahirkan dalam tahun 1961 di Johor Baharu. Ayah saya bekerja sebagai seorang wartawan untuk akhbar Utusan Melayu yang ketika itu beribu pejabat di Cecil Street, Singapura. Ibu saya adalah seorang guru di Johor Baharu.Dalam tahun 1962 kami sekeluarga telah berpindah ke Kuala Lumpur apabila Utusan Melayu memindahkan operasinya ke Jalan Chan Sow Lin, Sg. Besi. Kami sekeluarga menyewa rumah di Kg. Baru dan ibu saya mengajar di sebuah sekolah di Jalan Bangsar.Rumah yang kami sewa itu terletak berhampiran dengan padang bolasepak Kg. Pindah dan restoran Juara Tomyam sekarang.Sekitar tahun 1965, keluarga kami telah membeli sebuah rumah PKNS di Petaling Jaya. Ketika itu Petaling Jaya dilihat sebagai begitu jauh dari Kuala Lumpur. Tempat “jin bertendang”. Walaupun begitu heboh ketika itu tentang satu skandal di mana orang-orang Melayu telah dihalang membeli rumah-rumah PKNS kerana borang-borang permohonan mereka telah sengaja dihilangkan. Saya kurang pasti sama ada cerita ini benar atau sebaliknya.Rumah kami telah dibeli dengan harga RM6,000 tetapi nilainya sekarang adalah melebihi RM200,000. Kawasan-kawasan yang lebih jauh dari Petaling Jaya telah dibangunkan sejak pembukaan Petaling Jaya pada tahun-tahun 50’an.Apabila keluarga kami bertambah besar, kami telah sekali lagi membeli rumah PKNS dan kali ini di kawasan baru yang bernama Ampang/Ulu Kelang. Sekarang ianya dikenali sebagai Taman Seri Keramat. Ketika mula berpindah ke situ dalam tahun 1977, ianya juga adalah tempat “jin bertendang”. Tetapi keadaan telah berubah sejak itu. Rumah yang dibeli dengan harga lebih kurang RM50,000 sekarang boleh dijual dengan harga hampir RM300,000.Begitulah sumbangan PKNS kepada orang-orang Melayu yang berpendapatan sederhana seperti keluarga kami. Ia memberi peluang kepada mereka untuk memiliki rumah di kawasan-kawasan yang akhirnya menjadi di antara yang paling strategik di Lembah Kelang.Dengan perlantikan Pengurus Besar yang baru PKNS, Othman Omar, saya amat berharap agar peranan ini dapat diteruskan malah dapat dikembangkan agar rakyat Selangor tanpa mengira kaum dapat memilik rumah yang sempurna.Sebelum ini perlantikan Low Siew Moi (sekarang Datin Paduka) sebagai Pemangku Pengurus Besar telah menimbulkan pelbagai kontroversi. Tetapi amat dikesali ianya telah dilihat dari sudut perkauman. Kononnya dia ditolak kerana dia bukan orang Melayu. Sebenarnya bantahan terhadap perlantikan beliau semata-mata kerana beliau dikenali sebagai “orang Khir Toyo”. Bukan sahaja beliau tetapi jika ada orang Melayu yang juga dikenali sebagai “orang Khir Toyo” dilantik ke jawatan itu, perlantikannya akan turut dibantah keras. Tetapi malang sekali, semangat perkauman di kalangan kita masih menebal maka ramai juga yang mempertahankan Low kononnya beliau menjadi mangsa sebab beliau bukan orang Melayu. Mereka membabi buta menyokong perlantikan Low malah memberi pujian sehingga menggunung tanpa memeriksa apakah asas bantahan tersebut.Sekarang keadaan menjadi tenang semula dengan perlantikan Othman yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang hartanah. Harapan rakyat Selangor terhadap beliau adalah tinggi. Tetapi PKNS mempunyai visi dan misinya tersendiri. Ianya bukan semata-mata “cash cow” atau pembawa kenuntungan kepada Kerajaan Negeri semata-mata. Ia mempunyai tanggung jawabnya yang tersendiri.Di dalam sektor swasta matlamatnya adalah untuk meraih keuntungan dan mungkin ada sedikit tanggung jawab sosial kepada masyarakat (corporate sosial responsibility atau CSR) yang perlu ditunjukkan dari masa ke masa. Tetapi di dalam kerajaan, terutamanya kerajaan yang prihatin, tidak memadai hanya CSR untuk memuaskan hati pengundi dari masa ke semasa. Perlu ada usaha dan perancangan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. PKNS mesti “in tandem” atau bekerja seiring dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan agenda Pakatan Rakyat untuk menaikkan taraf hidup rakyat terutamanya dalam isu-isu perumahan dapat dicapai. Kalau sekadar untuk menjadi pemaju hartanah yang berjaya, kita sudah ada banyak pemaju-pemaju lain. Oleh itu, perlu ada satu kelainan, perlu ada nilai tambah.Saya kerap mendengar orang berkata susah hendak membeli rumah. Saya berharap PKNS sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri akan dapat sedikit sebanyak menyelesaikan masalah ini. Akhirnya kejayaan bukanlah bergantung kepada berapa keuntungan yang akan diperolehi tetapi berapa ramai keluarga seperti keluarga kami di dalam tahun 60’an dan 70’an dapat dibantu membeli rumah.Saya tidak tahu sama ada Antara Gapi akan satu hari menjadi seperti Taman Seri Keramat tetapi jika sekadar mencari keuntungan semata-mata, tidak perlu Pakatan Rakyat, tidak perlu bersusah payah menyertai pilihan raya, tidak perlu ditahan di bawah ISA, tidak perlu ditembak gas pemedih mata, tidak perlu bermandi lumpur bersama peneroka bandar, Barisan Nasional pun boleh melakukannya.

Iskandar Samad
26 Disember 2008

No comments: