Semua pihak yang melibatkan diri dengan jemaah Islam wajib mentaati pimpinan selagi mana pimpinan itu tidak membawa kita ke neraka. Perbezaan pandangan sepatutnya diraikan secara waras dan bijaksana dan bukannya secara penuh provokasi dan sangkaan jahat.
Sikap wala’ kepada pimpinan wajib difahami dan dihadami secara jelas oleh setiap ahli jemaah. begitu juga pimpinan dan ahli jemaah wajib memahami dan menyesuaikan pemikiran dan pendekatan dengan waqi’ setempat dan waqi’ semasa.
Ini membawa erti pendekatan yang diambil haruslah bersesuaian dengan waqi’ setempat tanpa melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Tidak mungkin pendekatan yang sangat sesuai dengan negara Mesir turut juga menjadi pendekatan yang sesuai untuk negara ini. Ertinya, pendekatan di Kelantan tentulah agak sedikit berbeza dengan pendekatan di Kedah, Perak mahupun Selangor atau Pulau Pinang.
Apa yang disesalkan adalah sikap umum kepada sesuatu permasalahan atau isu. Ramai di kalangan kita gemar mengulas tanpa memikirkan kesan yang akan timbul akibat daripada ulasan-ulasan yang dikeluarkan itu.
Adakah ini merupakan kejutan kepada kemenangan yang telah dikurniakan Allah swt? Atau adakah ini mencerminkan wujudnya klik-klik dalam jemaah ini seperti mana yang telah berlaku kepada UMNO? Adakah kemenangan yang dicapai itu telah mengubah diri kita daripada seorang pejuang kepada seorang politikus?
Kerjasama politik di kalangan parti Pakatan Rakyat yang wujud perlu diperkukuhkan dan dipertahankan walaupun masih terlalu banyak perkara yang perlu diperhalusi supaya percubaan tanpa henti pihak musuh untuk memusnahkan gabungan ini menemui kegagalan.
Malangnya, terdapat individu yang seperti teruja dan terkedu dengan kemenangan dan sokongan yang diterima sehinggakan seperti mengagungkan kerjasama politik yang wujud dan kelihatan melupakan prinsip-prinsip sebuah jemaah Islam.
Lebih malang lagi apabila ruang-ruang pertelingkahan ini turut menjerat golongan berilmu yang turut sama berada di dalam saf kepimpinan jemaah.
Seharusnya kelompok professional dan ulama sentiasa bergerak secara bersama bagi memantapkan jemaah ini dan bukannya kelihatan seperti bersama tetapi hakikatnya berbeza.
Pertelingkahan secara terbuka yang berlaku di kalangan pimpinan pimpinan pakatan rakyat Selangor sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada sokongan dan dokongan yang telah diterima ketika Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu.
Umum amat memahami tekanan dan dilemma yang dihadapi oleh pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor tetapi janganlah pertelingkahan itu dihamburkan secara terbuka kepada media yang sememangnya bersifat seperti harimau menunggu mangsa itu. Sewajarnya pertelingkahan itu diselesaikan secara kekeluargaan dan bukannya secara terbuka di media. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pimpinan yang tidak terlibat turut mengeluarkan pandangan yang sudah pasti bersifat berpihak.
Jika pimpinan yang “penuh ilmu” itu bercakaran, apatah lagi ahli biasa di cawangan-cawangan. Sebelum ini, ahli diminta sepakat dan bersilang tangan setiap kali wujudnya pertelingkahan berkaitan dasar dan pendirian jemaah. Amat menyedihkan apabila pimpinan sendiri gagal untuk menghayati konsep penyatuan dan silang tangan yang sering ditekankan kepada ahli di cawangan-cawangan.
Kurangkanlah berpolitik agar kita benar benar menjadi mujahid kerana wadah perjuangan adalah sebuah jemaah Islam yang politik itu adalah sebahagian daripadanya.
Kesimpulannya, seruan yang mahukan pimpinan menyusun dan mengukuhkan semula institusi tarbiyyah perlulah diberikan perhatian serius kerana hanya tarbiyyah yang dapat mengubati hati dan minda yang sakit. Tanpa tarbiyyah, haru-birulah jemaah.
Ketinggian ilmu dan berpendidikan tinggi belum membawa erti jiwa yang dimiliki itu sudah kebal terhadap cabaran perjuangan. Lebih malang lagi jika ketinggian ilmu dan pendidikan tinggi yang dimiliki itulah yang menjadi penghalang kepada percambahan pemikiran di kalangan ahli jemaah dan seterusnya merencatkan institusi tarbiyyah yang menjadi kekuatan dalaman PAS sejak sekian lama.
Memiliki ilmu yang tinggi tidak bererti kita telah tidak perlu ditarbiyyah lagi. Begitu juga dengan perihal memegang jawatan tinggi. Itu juga tidak membawa erti kita sudah memahami selok belok sebuah jemaah Islam.
Pahitkan ? Yang pahit itulah sebenarnya ubat yang mampu merawat kudis yang sedang menjadi tokak ini. Fikirkan.
No comments:
Post a Comment