Itulah rekod harga minyak yang dicipta untuk menjadi modal tambatan untuk Kerajaan BN jaja ke serata Alam. Pada 5 Jun 2008, BN menaikkan harga minyak RON 97 dari RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter, dengan kadar kenaikkan keseluruhan berjumlah 78 sen atau 41%.
Pastinya ramai yang terkejut dan marah ketika itu kerana itulah kenaikkan yang tertinggi dalam sejarah.
Walaubagaimana pun, BN ‘bijak’ untuk menarik perhatian rakyat dan pada 23 Ogos 2008, sebelum pilihanraya kecil Permatang Pauh mereka menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen dengan harga baru sebanyak RM 2.55.
Ini diikuti dengan enam lagi siri penurunan harga yang begitu hebat di war-warkan dalam media iaitu pada 25 September 2008 turun 10 sen kepada RM 2.45 , 15 Oktober 2008-RM 2.30 (Turun 15sen), 1 November 2008 - RM 2.15 (Turun 15sen), 18 November 2008 - RM 2.00 (Turun 15sen), 3 Disember 2008 - RM 1.90 (Turun 10 sen), 16 Disember 2008 -RM 1.80 (Turun 10sen).
Tujuh kali penurunan berbanding dengan satu kali kenaikkan kalau difikir sepintas lalu pasti kita ingat bahawa Kerajaan BN sudah buat kebajikan besar buat rakyat.
Namun, hakikatnya itu hanyalah satu permainan eko-politik mereka yang mahu rakyat hanyut dengan graf penurunan itu. Ianya memang berkesan kerana rakyat kini tidak lagi tertumpu pada isu harga minyak kerana mereka beralih pada isu harga barang yang tidak turun walaupun harga minyak dah turun banyak kali.
Dari segi matematik dan ekonominya, kenaikkan hanya sekali itu sebenarnya lebih merugikan kerana melibatkan perubahan harga yang besar kepada pasaran barang diseluruh negara yang mengambil masa yang panjang untuk melakukan pusingan modal dan untung.
Minyak menjadi punca awal kenaikkan harga barang hari ini kerana ianya telah menaikkan kos perkilangan dan pengeluaran produk yang ada dalam pasaran sekarang sejak lima bulan lalu. Kos kilang yang tinggi belum dapat mereka tampung, justeru itu mereka tidak boleh mengikuti rentak penurunan harga minyak sekarang walaupun mereka tahu bahawa mereka akan tetap dapat untung bagi pusingan pengeluaran untuk lima bulan akan datang hasil dari harga minyak yang rendah hari ini.
Langkah menurunkan harga minyak sebanyak tujuh kali hanyalah sekadar untuk menarik perhatian rakyat agar tidak terus salahkan Kerajaan.
Oleh itu kita janganlah terpedaya dengan langkah ini kerana Kerajaan hanya mengambil satu hari untuk naikkan harga minyak dari RM 1.92 kepada RM 2.70 tetapi kemudiannya mengambil masa lebih 5 bulan untuk turunkannya kepada RM 1.80 secara berperingkat.
Hari ini harga minyak dunia begitu rendah iaitu USD 46.28 setong dan sebenarnya harga ini lebih lebih rendah berbanding harga minyak dunia pada 1 Oktober 2004 dimana pada ketika itu harga minyak dunia adalah USD 53.13 dengan nilai harga tempatan hanya RM 1.42 seliter berbanding harga RM 1.80 seliter hari ini.
Jadi, bayangkanlah keuntungan yang diperolehi oleh pihak Kerajaan BN hasil dari putar belit mereka sepanjang lima bulan lalu dalam memainkan harga minyak ini.
Memang isu ini agak complicated untuk difahami, tetapi semuanya pasti ada alasan dan jawapan. Cuma, bagi kita sebagai rakyat diharapkan agar sedar akan hak dan juga tidak mudah berpuas hati.
Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa politik BN yang sebenarnya telah mengaut untung yang besar dalam kerugian rakyat.
Nota:1Harga minyak sentiasa berubah. Nilai yang diberikan merupakan nilai anggaran berdasarkan harga minyak mentah di pasaran New York.2Kerajaan mengumumkan harga minyak akan dikaji sebulan sekali bermula 1 September 2008 berdasarkan purata harga global minyak. Perubahan mengikut sistem ini pertama kali dilaksanakan pada 23 Ogos 2008.
Difailkan dalam: Isu Ekonomi
No comments:
Post a Comment