January 17, 2009

Calon BN ditolak di saat akhir

Abdul Aziz Mustafa Sat Jan 17, 09 KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh) - Trend pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) dipercayai telah berubah ekoran terlalu banyak laporan negatif terhadap calon parti itu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
"Saya bimbang laporan tersebut menyebabkan ada pengundi yang selama ini mengundi BN berpaling tadah mengundi calon PAS," Malaysiakini memetik seorang penduduk Kampung Nibong di Kuala Terengganu, Baharum Abdul Kadir.
Keadaan serba gelabah BN jelas kelihatan apabila jentera kerajaan digunakan untuk merasuahkan para wartawan.
Akibat dari tindakan keji itu, wartawan Merdeka Review telah membuat laporan polis mengenai perakara itu di ibupejabat polis Kuala Terengganu jam 6.30 petang semalam.
Menurut Malaysiakini, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu.
Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.
Empat wartawan Malaysiakini turut menulis butiran diri mereka di kertas tersebut tanpa menyedari bahawa mereka akan diberi wang tersebut.
Bagaimanapun, kesemua mereka terus memulangkan wang tersebut kepada kakitangan pusat media tadi.
Kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan apabila disoal dari siapa datangnya tersebut.
Di sebuah hotel di Kuala Terengganu, satu kekecohan kecil berlaku ekoran tersebar khabar yang mengatakan sebuah parti politik sedang mengedarkan wang tunai kepada pengundi.
Apabila Malaysiakini tiba di dewan bankuet hotel tersebut pada jam 5.30 petang, sekumpulan orang kelihatan sedang menulis nama dan nombor kad pengenalan mereka pada sekeping kertas.
Kira-kira 100 orang yang berada di dewan tersebut kelihatan tidak selesa dengan kehadiran para wartawan yang turut mengambil gambar, lalu menggesa yang lainnya berhenti menulis butiran diri mereka.
"Mengapa kamu masih tulis. Semua pegawai telah beredar," kata seorang wanita yang sudah berusia.
Apabila semakin ramai wartawan tiba di situ, seorang lelaki yang tidak dikenali terus mengambil 10 keping kertas yang mengandungi butiran diri orang ramai dan beredar dari situ.
"Saya akan tanya bos saya sama ada masih ada lagi wang untuk kita," kata lelaki tesebut lalu beredar, diikuti oleh yang lain-lainnya.
Kebanyakan mereka sudah berusia itu berkata, mereka datang ke situ untuk menghadiri satu jamuan pada jam 4 petang yang turut mempunyai ucapan politik.
Tidak seperti majlis politik yang lain, tidak kelihatan sebarang logo atau kain rentang parti yang dipasang di situ. Terdapat dakwaan yang bercanggah mengenai siapakah penganjurnya.
Antara mereka yang dikatakan berucap di majlis tersebut ialah seorang bekas menteri besar dari sebuah negeri di pantai barat Semenanjung.
Ketika wartawan tiba, keadaan menjadi kecoh dengan ramai yang bercakap dengan kuat bahawa mereka telah ditipu dan tiada wang yang diedarkan.
Sesetengahnya turut mendakwa yang mereka yang datang lebih awal, telah memperolehi wang tersebut._

No comments: