January 23, 2009

MB Nafi Minta SIC Beli Lembu Korban Untuk Parlimen Bandar Tun Razak

Wednesday, 21 January 2009 SHAH ALAM, 21 Januari - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) yang mendakwa beliau menggunakan wang kerajaan negeri bagi membeli 46 ekor lembu korban sempena Aidiladha tahun lalu.

Gerak Malaysia mendakwa peruntukan sebanyak RM110,400.00 digunakan Dato’ Menteri Besar melalui Selangor Industrial Corporation (SIC) Sdn Bhd yang didakwa sebagai anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk membiayai pembelian berkenaan.

Pertubuhan itu mendakwa lembu-lembu berkenaan diagih-agihkan ke surau dan masjid di kawasan parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili beliau.

Mengulas dakwaan itu, Abdul Khalid berkata lembu korban terbabit telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Difahamkan syarikat-syarikat tersebut telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi kawasan Bandar Tun Razak atas dasar tanggungjawab sosial korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan Abdul Khalid itu adalah sebagai respons kepada dakwaan yang dibuat Gerak Malaysia pagi tadi yang mendakwa beliau telah menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan rasuah dengan menyalurkan dana kerajaan negeri di luar sempadan Selangor.

Gerak Malaysia juga dilaporkan telah menerima beberapa dokumen bukti serta membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) petang tadi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai syarikat mana yang terlibat dalam pembelian itu.

Abdul Khalid berkata sebagai pengerusi PKNS, beliau mencadangkan anak syarikat kerajaan negeri mengagih-agihkan lembu korban kepada setiap masjid di Selangor.

Katanya, PKNS pula biasanya mendapatkan bekalan lembu yang dibeli daripada PKPS.

Menurutnya lagi, ada juga syarikat-syarikat luar yang ingin menderma lembu korban kepada penduduk di kawasan beliau.

“Saya cadangkan mereka derma di Kemboja, tetapi ada yang kata mahu beri kepada penduduk di sini. Jadi saya cadangkan mereka derma di Bandar Tun Razak,” katanya.

Jelasnya, jika beliau sebagai pengerusi PKNS mengarahkan SIC membeli lembu untuk diagihkan di kawasan parlimen beliau sendiri, sudah tentu wujud konflik kepentingan peribadi.

Beliau berkata sebagai seorang yang berpengalaman dalam banyak syarikat korporat sebelum ini, beliau sangat memahami bagaimana mewujudkan tadbir urus yang baik.

“Peruntukan kerajaan negeri hanya boleh digunakan untuk kegunaan negeri sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata Gerak Malaysia wajar membuat ‘homework’ agar ia tidak dilihat seperti digunakan pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik.

Abdul Khalid juga menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Mengulas hasrat pertubuhan itu yang ingin mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, beliau berkata “jika mereka ada isu, mereka boleh jumpa sesiapa sahaja…mereka ada hak berbuat demikian,” katanya.

No comments: