April 16, 2009

Eliz Wong kembali ke SUK... Welcome back YB!!


SHAH ALAM: Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong hari ini kembali bertugas setelah menerima tawaran untuk kekal sebagai Exco Kerajaan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan.
Beliau tiba di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)kira-kira pukul 9:30 pagi dengan menaiki kenderaan rasmi Toyota Camry dengan nombor pendaftaran BKF 7000.
Ketika ditemui di lobi Wong berkata, beliau sudah bersedia untuk kembali menjalankan tugas seperti biasa.
"Saya sudah menerima nasihat daripad Menteri Besar dan juga Anwar Ibrahim (Datuk Seri).
"Izinkan saya menjalankan tugas dan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat,"katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim , Wong berkata: "Saya sudah menemui Menteri Besar semalam dan beliau sudah memberikan taklimat berkenaan tugas-tugas saya."
Wong juga memberitahu tugas pertama beliau hari ini ialah untuk menghadiri mesyuarat bersama Lembaga Pelancongan Negeri Selangor.
"Saya harap anda beri saya peluang untuk masuk pejabat untuk buat persediaan,"katanya.
Beliau juga, melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.
Semalam, Wong bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan negeri Selangor agar beliau kekal sebagai Exco dan ADUN Bukit Lanjan.
Pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan pihaknya sudah menerima persetujuan Wong.
Terdahulu pada sidang media Khalid berkata, keputusan supaya Wong meneruskan khidmat Wong itu dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Wong menjadi tumpuan ekoran tersebarnya klip video dan gambar separuh bogelnya menerusi internet dua bulan lalu.
MEDIArakyat: Selamat kembali ke SUK, YB!

No comments: