RASA – Tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Chuang yang didakwa menarik balik deposit bayaran bagi Dewan Bola Keranjang dan Pejabat Jawatankuasa itu disifatkan tidak adil dan mencabul hak rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Lim Kim Fong berkata, tindakan mereka yang majoritinya daripada MCA bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan malah tidak profesional dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Menurut Kim Fong, JKKKP berkenaan juga didakwa meninggalkan sejumlah tunggakan bil elektrik menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan memotong bekalan elektrik untuk dua tempat terbabit. “Kami terkejut kerana tiba-tiba sahaja bekalan elektrik di sini padam bermula 6 April lalu. Namun, setelah kami selidiki rupanya terdapat tunggakan bil berjumlah RM944 yang ditinggalkan jawatankuasa terdahulu. “Tunggakan yang bermula Ogos hingga September tahun lalu itu sepatutnya dijelaskan pihak berkenaan dan tidak wajar membiarkan ia ditanggung pihak lain terutama penduduk,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam. Berikutan itu katanya, dewan dan pejabat tersebut tidak dapat digunakan dan menyukarkan penduduk dan pemuda tempatan untuk melakukan aktiviti riadah. Menurutnya, menjadi kebiasaan penduduk dan pemuda tempatan untuk bersukan pada waktu petang hingga malam kerana ketika itu cuaca sejuk dan baik untuk kesihatan. “Tetapi setelah JKKKP menarik balik deposit dan membiarkan tunggakan itu, maka TNB bertindak memotong elektrik dan situasi itu mengundang ketidakpuasan hati penduduk kampung. “Justeru, kami mendesak supaya JKKKP membayar balik tunggakan itu kepada JKKK untuk dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya. Kim Fong berkata, JKKK terpaksa menggunakan dana sendiri untuk membayar balik tunggakan itu bagi memastikan dewan dan pejabat tersebut dapat digunakan seperti biasa. Bagaimanapun, pihaknya tetap mendesak pihak berkenaan supaya membayar balik tunggakan itu memandangkan duit yang digunakan adalah hasil kutipan penduduk. Menurutnya, penarikan deposit dan pemotongan bekalan elektrik tanpa notis turut membebankan penduduk yang juga tertanya-tanya mengapa perkara itu berlaku. Beliau berkata, sekiranya deposit itu tidak ditarik, maka JKKK mempunyai sumber untuk melunaskan tunggakan terbabit dan Kim Fong menegaskan, JKKKP seharusnya memikirkan terlebih dahulu perkara itu dan tidak salah jika ia dibawa bercincang kerana jelas beliau setiap perkara pasti ada jalan penyelesaiannya.
No comments:
Post a Comment