March 30, 2009

Jangan jadikan tiga pilihan raya ’pungutan suara’

30/03/2009 4:35pm
SUNGAI PETANI 30 Mac — Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat tidak menjadikan tiga pilihan raya kecil pada 7 April ini sebagai satu “pungutan suara” penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baru Umno dan Barisan Nasional (BN) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata sememangnya pilihan raya kecil itu mempunyai signifikasi kerana secara kebetulannya proses peralihan kepimpinan dan kuasa itu berlaku ketika tiga pilihan raya kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak serta Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan.
“Saya nak ingatkan ini bukan pungutan suara kepada kepimpinan Najib (Datuk Seri), ini pilihan raya kecil,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat jentera pilihan raya BN di Bilik Gerakan BN Merbok di sini hari ini.
Katanya pengundi perlu mengambil kira situasi masa depan negara dan penambahbaikan dasar serta pendekatan untuk membangunkan negara tanpa menyisihkan mana-mana kaum di negara ini.
“Kita nak melaksanakan program sosial yang lebih berkesan dan ini kita nak buat dalam tempoh yang berlaku tidak terlalu lama. Kita akan mulakan sekarang dengan perubahan kepimpinan yang baru,” tambah beliau. — Bernama

No comments: