March 03, 2009

Umno digesa tangguh pemilihan, selesai kes rasuah politik

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Dua ahli Umno hari ini menggesa supaya perhimpunan agung parti itu ditunda supaya kes-kes rasuah politik dalam Umno dapat diselesaikan.
Ketua Cawangan Umno Muar, Datuk Kadar Ninam Shah dan ahli Umno Subang, Datuk Mazlan Harun bersedia mendapatkan injuksi mahkamah sekiranya semua kes politik wang gagal diselesaikan sebelum perhimpunan agung yang akan berlangsung hujung Mac ini.
"Kita menggesa supaya Perhimpunan Agung Umno ditangguh supaya tindakan dapat diambil untuk menyelesaikan laporan yang dikemukakan berhubung politik wang sama ada kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau pun kepada Lembaga Disiplin," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mazlan berkata, mereka sedia berhadapan dengan tindakan tata tertib daripada parti berikutan tindakan mereka itu.
"Bagaimanapun, kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita menunggu reaksi daripada pimpinan tertinggi Umno.
"Jadi kita gesa Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil berat perkara ini.
"Bagaimanapun, kita bersedia (menghadapi tindakan)," katanya.
Katanya, tindakannya menggesa perhimpunan agung ditangguh bukan bertujuan untuk menghalang peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tetapi semata-mata untuk membersihkan parti daripada gejala rasuah.
Perhimpunan Agung Umno dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.

No comments: