March 23, 2009

Rodziah Harap Setiap Dun Tubuh Pusat Komuniti Wanita

KLANG, 21 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berharap lebih banyak pusat komuniti wanita dapat ditubuhkan di negeri ini.
Beliau berkata pusat komuniti itu nanti bukan sahaja berperanan meningkatkan kemahiran golongan wanita, bahkan mendedahkan mereka dengan hak wanita dari sudut perundangan.
Menurut Rodziah, setakat ini beberapa kawasan dewan undangan negeri (Dun) telah menyatakan minat untuk menubuhkan pusat komuniti untuk wanita.
Antaranya Taman Medan, Batu Tiga, Selat Klang, Hulu Klang dan Rawang.
“Hasrat saya ialah supaya ia bukan sekadar tempat berkumpul untuk meningkatkan pelbagai kemahiran tetapi kita mahu mendedahkan tentang hak-hak di sudut perundangan, sebab kita tahu bahawa wanita ni kadang-kadang perlu bantu-membantu, sokong-menyokong di antara satu sama lain dan akhirnya mereka boleh berdikari,” katanya selepas merasmikan Kursus Usahawan Cendawan Wanita di Dewan Serbaguna, Lorong Hamdan, Off Jalan Khamis, Meru dekat sini pagi tadi.
Rodziah berharap pusat komuniti seumpama itu dapat ditubuhkan di setiap kawasan Dun dengan pelbagai pengisian program untuk wanita.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengadakan beberapa kursus untuk wanita termasuk golongan ibu tunggal bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Katanya sejak sebulan lepas, empat kursus telah diperkenalkan iaitu kursus jahitan manik, bakeri, cendawan dan pendidikan anak-anak.
Terdahulu ketika berucap merasmikan kursus itu, Rodziah berkata usahawan wanita perlu bijak memanfaatkan peluang perniagaan berasaskan cendawan yang boleh memberi pulangan yang lumayan.
Katanya, mereka perlu menghindar sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ sebaliknya berusaha untuk menjadikan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan yang berterusan.
“Saya berharap kursus seperti ini dapat membuka minda kita dan jangan sesekali kita tinggalkan apa yang kita sudah belajar,” katanya. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments: