March 01, 2009

Swasta Raih Untung Melampau - Abdul Khalid

Sunday, 01 March 2009
SELAYANG, 1 Mac - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hasrat beliau untuk melihat kerajaan negeri mengambil alih pengurusan industri air adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat.
Beliau berkata rakyat sepatutnya mendapat faedah daripada penswastaan sebelum ini, tetapi sebaliknya yang berlaku.
“Saya takut kerana orang swasta ini memikirkan keuntungan, keuntungan yang begitu banyak, saudara tak tahu mengikut kira-kira mereka, enam tahun yang akan datang, harga (tarif air) akan naik lagi…lepas itu satu liter air (harganya) lebih RM3 bererti lebih baik beli minyak..itu sebab saya kata ini tak boleh jadi, tak boleh diterima,” kata Dato’ Menteri Besar pada program Ceramah Isu Semasa anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dekat sini, malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Beliau menyifatkan kos itu melampau dan tidak harus membiarkan mereka meraih keuntungan yang akan menyusahkan rakyat.
Abdul Khalid berkata disebabkan itu kerajaan negeri telah membuat tawaran sebanyak RM5.5 bilion bagi mengambil alih empat syarikat konsesi air agar industri air dapat distruktur semula.
Beliau berkata kerajaan negeri tetap dengan keputusan tawaran harga berkenaan walaupun ada pihak yang meminta jumlah yang lebih tinggi.
“Saya kata tak boleh…itu bukannya apa, itu tamak haloba, sudah untung tetapi hendak untung lagi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan melaksanakan program kediaman untuk semua pada tahun ini.
Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 10,000 unit rumah murah yang masih belum diduduki.
“Kita akan cari jalan bagaimana 10,000 unit ini dapat kita kembalikan kepada rakyat dalam beberapa program,” katanya.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan terus memastikan rakyat mendapat manfaat daripada program-program yang dijalankan kerajaan negeri khasnya menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). - NOOR ALLIA KASSIM

No comments: