May 03, 2008

KeADILan Selangor lapor BPR dakwaan babitkan isteri Khir Toyo






Sabtu 3 Mei 2008 26 Rabiul Akhir 1429 Hijrah

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Selangor hari ini mengemukakan laporan dakwaan pemindahan satu dana membabitkan isteri bekas Menteri Besar Selangor (Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo), Datin Seri Zaharah Kechik kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan KeADILan Selangor, Mohd Nasharudin Abdul Aziz di Pejabat BPR Selangor dekat sini pada pukul 2.45 petang tadi bersama Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin.
Laporan setebal 15 muka surat itu dikemukakan kepada Pegawai BPR, Mohd Anuar dan Nasharudin menyatakan bahawa pegawai BPR mengakui ia adalah laporan pertama membabitkan isteri bekas Menteri Besar Selangor itu.
Namun laporan 15 muka surat yang dikatakan diperolehi antaranya daripada kalangan 'rakan-rakan' itu tidak boleh didedahkan atas nasihat BPR, kata Nasharudin.
"Kita menuntut penyiasatan terhadap dana wang Balkis ini, yang mana kewajaran proses pemindahan wang dari dana Balkis ke Bakti," katanya.
Sementara itu semasa penyerahan laporan kepada BPR dibuat, kira-kira 20 penyokong KeADILan bberkumpul di hadapan pejabat BPR di Tingkat 14 Plaza Mas Alam.
Masing-masing membawa sepanduk yang antara lain menggesa BPR menyiasat laporan terbabit.Tidak kurang kelibat kira-kira 10 orang pegawai cawangan khas yang sejak dari mula rombongan KeADILan tiba di BPR memerhati pergerakan setiap individu yang berada di tempat tersebut.

No comments: