May 19, 2008

Tukar Meter, rakyat nikmati air percuma - MB Selangor


Pihak pengurusan pangsapuri di negeri ini disaran mengadakan perbincangan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menyediakan setiap rumah dengan meter air individu bagi menggantikan meter air pukal.
Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim berkata ia bagi membolehkan kira-kira 300,000 penduduk pangsapuri juga menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bermula 1 Jun ini.
“Saya menggalakkan rakyat menerima air percuma ini kerana kita rasa dalam keadaan ekonomi sekarang ini (ia) adalah perlu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), petang tadi.
Ketika mengulas pandangan yang mengatakan Selangor merasuah rakyat dengan pemberian air percuma, beliau berkata mana-mana pihak yang tidak mahu menerima pemberian itu dicadangkan memberi nama mereka.
“Kita tahu siapa yang tidak hendak air percuma… (akan menerima) bil seperti dulu dan lebihan duit itu kita hendak salurkan kepada mereka yang memerlukan terutama sekolah agama rakyat, sekolah tamil, sekolah cina dan apa-apa juga diperlukan,” katanya.
Jelas beliau, pemberian air percuma itu adalah antara usaha Pakatan Rakyat untuk memberi semula kepada rakyat pendapatan lebihan kerajaan negeri. (Suara Keadilan)

No comments: