KUALA TERENGGANU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu sekiranya siasatan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh dibuka. Ketuanya, Fariz Musa berkata, PDRM perlu menjalankan siasatan secara adil dan tidak melihat kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja. Beliau mendakwa, polis tidak pernah mengambil tindakan terhadap laporan pihaknya berhubung isu kain rentang dan 22 ADUN Terengganu yang dikatakan menderhaka kepada sultan ketika konflik pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya umum ke-12, Mac lalu. “Kita tunggu dan lihat sahajalah dan berharap polis mengambil tindakan dan siasatan terhadap penderhakaan kepada sultan. “Kalau tindakan diambil terhadap Karpal Singh, kita minta tindakan sama turut diambil terhadap laporan yang dibuat AMK sebelum ini melibatkan 22 ADUN Barisan Nasional (BN) yang dilihat agak serius. “Bukan sahaja PDRM tetapi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri perlu mengambil tindakan terhadap isu penderhakaan kepada sultan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam. Ketika ditanya sama ada pihaknya berhasrat membuat laporan polis berhubung cadangan Karpal Singh yang ingin menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini, beliau berkata, AMK tidak terfikir berbuat demikian. Fariz yang sering bertindak pantas membuat laporan polis terhadap isu-isu semasa dalam negara terutama melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO menyatakan laporan polis yang telah dibuat pelbagai pihak sebelum ini sudah memadai. “Kita rasa sudah memadai kerana terlalu banyak laporan dibuat oleh Pemuda UMNO dan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kenyataan Karpal Singh. Kita harap polis ambil tindakan,” katanya. Menurutnya, AMK bersikap tunggu dan lihat terhadap tindakan polis selepas ini memandangkan telah banyak laporan yang dibuat pihaknya masih tidak diketahui status sama ada sudah disiasat atau sebaliknya.
1 comment:
Post a Comment