February 26, 2009

Khir disiasat, rasuah apatmen di Mekah


Bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo kini disiasat kerana dipercayai mendalangi pembelian dan penjualan apartmen mewah di Makkah membabitkan penggunaan dana awam sebanyak 25 juta ringgit.
Urus beli-jual itu dilakukan menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad, sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang kini dalam siasatan audit. Demikian menurut kenyataan pejabat Menteri Besar Selangor .
Pada 14 September 2007, Lembaga Pengarah syarikat PNSB yang dipengerusikan oleh Khir Toyo meluluskan syarikat berkenaan membeli lima unit apartmen di Menara Al Marwah, Makkah dengan harga RM8.3 juta.
Bagaimanapun tiga hari kemudian, PNSB membayar RM25.6 juta kepada sebuah akaun di Arab Saudi untuk membeli 12 unit apatmen.
Pembelian tujuh apartmen tambahan itu dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.
Apartmen berkenaan didaftar atas nama Khir Toyo, atas alasan memenuhi keperluan undang-undang kerajaan Arab Saudi.
Selepas membeli 12 apartmen itu, PNSB bertindak menjual 7 daripadanya kepada seorang individu pada harga kos RM17.2 juta ringgit.
Penjualan itu sekali lagi tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah.
PNSB menerima RM17 juta daripada individu berkenaan tetapi tidak ada sebarang resit rasmi dikeluarkan untuk memperaku penjualan apartmen itu pada harga kos.
Kes itu menjadi lebih “pelik” apabila PNSB di bawah kepemimpinan Khir Toyo, kemudiannya meluluskan pembayaran RM8.2 juta ringgit menerusi empat cek kepada individu yang sama.
Ini dilihat sebagai cubaan membeli semua apartmen itu daripada individu berkenaan, membolehkan beliau mengaut keuntungan besar.
Transaksi ini juga dibuat tanpa mesyuarat Lembaga Pengarah.
Namun, PNSB kemudian membatalkan tiga daripada cek berkenaan. Cek keempat bernilai dua juta ringgit dimasukkan ke dalam akaun individu berkenaan.
Namun PNSB kemudian mengarahkan bank menghentikan pembayaran itu.
Siasatan kini bertumpu kepada persoalan bagaimana PNSB yang dipengerusikan oleh Khir Toyo mendapat kelulusan untuk membeli tambahan tujuh apatmen, tanpa kebenaran Lembaga Pengarah.
Audit juga dilakukan untuk mengenal pasti kenapa segala urusan membabitkan penjualan 7 unit pada harga kos kepada individu berkenaan tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah.
Turut disiasat ialah kenapa PNSB seterusnya cuba membeli balik apatmen itu daripada individu berkenaan.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak bertindak tegas jika wujud unsur perbuatan jenayah dalam kes berkenaan.
Akaun kewangan PNSB bagi tahun 2007 masih belum dapat ditutup. TVAntara

No comments: