February 18, 2009

Pendedahan salah laku baik...PR ada kekangan kualiti moral yg tinggi .. Husam Musa


Oleh AZRAN FITRI RAHIMutusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU 17 Feb. - Pas menyifatkan pendedahan salah laku pemimpin pakatan pembangkang seperti berlaku terhadap Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong sebagai tindakan yang baik.
Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, pendedahan-pendedahan tersebut akan memudahkan pakatan pembangkang dan parti-parti berkaitan melakukan pembetulan di peringkat awal.
"Dari satu segi, beberapa pendedahan salah laku moral pemimpin pakatan pembangkang adalah bagus untuk kita buat pembetulan.
"Perjuangan kita masih di peringkat baru. Ia akan menjadikan kita lebih sihat," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Elizabeth yang menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor ekoran tersebarnya gambar bogel beliau dalam Internet.
Dalam pada itu, Husam berpendapat keputusan Elizabeth menawarkan diri meletakkan jawatan ekoran penyebaran gambar bogelnya di Internet sebagai langkah bermoral dan berprinsip.
Beliau berkata, Elizabeth ternyata sedar bahawa isu yang membabitkan dirinya selaku pemimpin telah menjadi liabiliti kepada parti.
Sehubungan itu, katanya, penawaran untuk meletakkan daripada Elizabeth merupakan tindakan yang wajar.
Bagaimanapun, tambah beliau, aksi gambar bogel tersebut tidak akan menjejaskan Pas yang mempunyai pendirian konsisten dan juga pakatan pembangkang.
"Saya sudah sebut ada dua perkara, yang penting bagi mana-mana parti ialah ada standard moral sendiri. Pakatan pembangkang ada standard moral sendiri, jika tidak tercapai tindakan akan diambil.
"Pada masa sama, kehidupan peribadi Elizabeth diceroboh. Pencerobohan ini juga tidak bermoral, kedua-duanya perlu ditangani dengan adil. Beliau sedar isu ini menjadikannya liabiliti kepada parti dan ini (tawar letak jawatan) langkah yang baik," katanya.
Husam berkata, beliau bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Elizabeth kerana kehidupan peribadinya telah dicabul oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya merasakan pencerobohan ada tujuan politik. Ini juga sesuatu yang tidak bermoral. Tetapi saya tidak tahu sama ada ia perangkap atau sebaliknya.
"Beliau mahu letak jawatan, ini moral yang tinggi. Begitu juga kes V. Arumugam, saya mahu tanya pihak berkuasa apa jadi kes beliau yang mendakwa mendapat tekanan dan ugutan pihak tertentu," katanya.

No comments: