February 27, 2009

Kecewa Tindakan Span Memintas Kerajaan Negeri : Ahli Panel Penilai Air

Thursday, 26 February 2009
SHAH ALAM, 26 Februari – Rancangan kerajaan negeri untuk menstruktur semula industri perkhidmatan air di Selangor belum lagi terlaksana berikutan tindakan Kerajaan Pusat yang menggugat usaha kerajaan negeri mengambil alih kesemua aset dan ekuiti daripada empat syarikat industri air di negeri ini.

Ahli Panel Penilai Air Kerajaan Negeri Selangor, Fahda Nur Ahmad Kamal berkata tindakan Kerajaan Pusat yang memintas usaha kerajaan negeri dengan mengadakan rundingan terus menyebabkan syarikat konsesi itu menolak tawaran yang telah dibuat kerajaan negeri.
“Kerajaan Persekutuan sudah sedia maklum bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengemukakan tawaran kepada empat syarikat konsesi tersebut iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga, Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) dan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash), berdasarkan nilai yang adil dan berpatutan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pada 18 Februari lalu iaitu dua hari sebelum tarikh yang sepatutnya syarikat konsesi memberi maklum balas, kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah membuat pengumuman bahawa mereka akan mengadakan rundingan secara terus dengan empat syarikat konsesi terbabit.

“Kalau sudah ada dua tawaran yang berbeza, satu tawaran yang sudah dijanjikan dan ada pula orang datang untuk berunding, sudah tentulah tawaran dari kerajaan negeri tidak akan diterima dan ditolak,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor, Asas dan Matlamat Kerajaan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, di sini pagi tadi.

Menurutnya, perundingan secara terus yang dilakukan pihak Span sebenarnya ‘mensabotaj’ usaha kerajaan negeri untuk mengambil alih dan memberi tawaran harga mengikut penilaian kerajaan negeri.

“Cara ini kita anggap seperti ‘potong jalan’ kerana mereka memintas usaha kerajaan negeri dalam usaha menyegerakan langkah terakhir pengambil alihan tersebut,” katanya.
Berikutan pengumuman itu katanya, pihak kerajaan negeri juga tidak sempat melakukan sebarang rundingan dengan syarikat konsesi terbabit.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga anggota panel penilai, Tony Phua berkata matlamat utama kerajaan negeri Selangor menstruktur semula industri air di negeri ini adalah bagi memastikan pengurusannya dilaksanakan dengan lebih baik dan cekap selain pengagihan air yang lebih merata.
Katanya, kepentingan rakyat lebih menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam usaha pengambil alihan itu.

“Kita mahu meringankan beban penduduk Selangor dan Kuala Lumpur dengan membekalkan mereka dengan air yang murah,” katanya.

Selain Fahda Nur dan Tony Pua, turut hadir Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Pensyarah Universiti Nottingham Malaysia, Dr Subramaniam Pillay. – MURIZA ABDUL HAMID

No comments: