February 24, 2009

Selewengan?: MB Selangor arah 2 pegawai kanan PNSB bercuti

PETALING JAYA: Dua pegawai kanan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman terperinci dijalankan berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarilkat kerajaan negeri Selangor itu.
Kedua-dua pegawai berkenaan ialah Ketua Eksekutifnya, Datin Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Nora Azmin Radzuan.
Aspek kelemahan dan kesalahan dimaksudkan itu didakwa berlaku antara tahun 2006 dan 2007.
"Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Selangor telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod perakaunan syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
"Antara rekod-rekod yang disyaki terlibat termasuk penyerahan dokumen kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan urusniaga pembelian serta penjualan hartanah di Mekah diantara tahun 2006-2007.
"Oleh itu, ahli lembaga pengarah PNSB hari ini (semalam) telah mengarahkan Ketua Eksekutif PNSB, Datin Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Nora Azmin Radzuan diberi cuti bergaji selama 30 hari supaya kajian selidik dan kemaskini rekod perakaunan dapat dilakukan," kata kenyataan pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim lewat semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan dalam blog Ketua Umum Pakatan Rakyat malam tadi.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sangat mementingkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan pentadbiran kerajaan serta pengendalian anak-anak syarikat kerajaan negeri.
Katanya, keputusan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam dalam soal memantau selia, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri dan semua agensi, badan berkanun, pihak-pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan dengan atau di bawah pentadbiran Kerajaan negeri Selangor selaras dengan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

No comments: