February 27, 2009

Parlimen tubuh jawatankuasa siasat 'kekecohan isu celaka'


February 27, 2009 :
Kekecohan di luar lobi menara Parlimen apabila sekumpulan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Selangor cuba mendapatkan penjelasan Karpal Singh ekoran menuduh pemuda parti itu celaka mencetuskan episod baru setelah Pengerusi DAP itu mencadangkan pemimpin UMNO yang terbabit dikenakan waran tangkap. Walaupun Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut, Parlimen bagaimanapun meluluskan usul dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz supaya ditubuhkan jawatankuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit kejadian kira-kira jam 2.45 petang, Khamis. Karpal yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor mengemukakan cadangan melalui peraturan Dewan ketika Dewan masih membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat, malam tadi. Beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 26(1)(P) yang bersabit dengan hak istimewa Ahli Parlimen di mana tiada notis diperlukan, serta Seksyen 9 dan 11 Akta Majlis Parlimen memandangkan kejadian itu berlaku di Parlimen. Menurut Pengerusi DAP itu, ketika kejadian itu beliau diserang sekumpulan Pemuda UMNO seramai 10 hingga 15 orang termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang Engku Md Salleh Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omardin. Beliau mendakwa diugut kumpulan tersebut mengenai apa yang dihujahkannya ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, Rabu. Karpal berkata, tindakan kedua-dua pemimpin Pemuda UMNO adalah satu kesalahan dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka berdua. “Waran tangkap itu adalah untuk menahan kedua-dua orang tersebut dan mebawa mereka ke gadapan Dewan bagi memberi sebab kenapa mereka tidak patut di penjarakan,” katanya mencadangkan usul itu dibahaskan. Bagaimanapun, Pandikar Amin berkata, beliau tidak boleh melaksanakan Seskyen 11 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 peraturan Dewan bagi maksud mengeluarkan waran bagi memberkas pemimpin Pemuda UMNO itu. Katanya, ini kerana mereka belum pernah ditangkap atau dibicarakan dan peraturan mesyuarat 80A sesuai bagi tujuan itu yang baru diterimanya daripada Setiausaha Dewan. Kenyataan beliau dibantah Karpal hingga mencetuskan sedikit ketegangan dan Pandikar Amin seterusnya menasihatkan ahli parlimen Bukit Gelugor itu menghormati keputusan Speaker. Mohd Nazri kemudian bangun membacakan Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat. “Majlis mengambil ketetapan seperti berikut dengan menubuhkan jawatankuasa menyiasat aduan YB Bukit Gelugur yang telah mengadu perbuatan menghina majlis dan mengambil tindakan bersesuaian mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa 1952),” katanya. Jawatan kuasa itu terdiri daripada Pandikar Amin dan timbalannya Datuk Ronald Kiandi (BN-Buluran), Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan On (BN-Alor Gajah), Nancy Supri (BN-Batang Sadong), K.Sivarasah (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat). Dengan perkembangan terkini isu tuduhan ‘Pemuda UMNO celaka’ oleh Karpal itu, pemimpin Pemuda UMNO bahagian terbabit pastinya akan dipanggil jawatankuasa tersebut bagi menyisat punca kejadian itu. Ini sekaligus akan menguji kekuatan Pergerakan Pemuda UMNO yang sudah bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan bagi mempertahankan maruah parti dan orang Melayu yang dibuat oleh Karpal di Dewan Rakyat sekaligus memberi kekebalan daripada sebarang tindakan pendakwaan - 26/2/2009

No comments: