February 06, 2009

Bahtera kita menghadapi lautan yang luas

@Roslan SMS
Seingat saya mendengar kalimat sembah derhaka ini dalam riwayat Hang Tuah apabila Datuk Bendehara memohon sembah derhaka kepada Tuanku Sultan Melaka dalam mengakui bahawa Laksamana Hang Tuah tidak beliau bunuh sebagaimana yang dititahkan Baginda, tetapi sebenarnya disembunyikan dan masih hidup.
Semalam MB Perak turut bersembah derhaka kepada Paduka Sultan Perak, kerana enggan meletakkan jawatannya sebagai MB atas alasan beliau sebenarnya masih berkuasa.Saya menerima banyak komen dan reaksi dari orang-ramai terhadap perkembangan yang agak mengejutkan ini sehingga Utusan Malaysia memaparkannya di muka depannnya hari ini. Sudah pasti agenda Utusan adalah bagi menggambarkan bahawa MB Perak dari PAS ini tergamak derhaka kepada Tuanku, suatu tindakan yang tidak pernah didengari oleh telinga umat Melayu kecuali dizaman Sultan Melaka!
Secara peribadi saya sendiri terganggu dengan perkembangan ini. Minta maaf tapi saya pohon untuk berterus-terang.Saya telah menyatakan bahawa sebelum ini rakyat khususnya rakyat Perak memandang tinggi sumbangan Nizar, walaupun dalam tempoh singkat 11 bulan namun impak kepimpinan beliau sebagai MB jelas dirasai bezanya oleh rakyat jelata berbilang kaum. Siapa yang tidak megah dan berbangga dengan Nizar sebagai MB, seorang jurutera, fasih berbahasa Inggeris dan Cina, boleh pula membaca kuliah dan menyampaikan tazkirah, baik sungguh budi dan akhlaknya.
Bagi PAS pula ia telah menjulang panji-panji parti ke mercu yang sebelum ini hanya dirasai dari karisma dan aura Tok Guru Nik Aziz sahaja (sebagai MB Kelantan).Saya bimbang dari perkembangan ini ia mungkin terjejas dan digunakan musuh untuk “delete” segala yang tercapai di atas.Memang kita terkilan, marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Perak. Ini lebih-lebih lagi dirasai oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS yang menganggap amanah ini sebagai suatu kurnia dari Allah swt dan wajib dilaksanakan sebaik-baiknya. Ia tidak boleh dijual-beli apalagi disalah-gunakan.
Namun perasaan kita tidak boleh mengatasi masallah dan kepentingan jemaah dan perjuangan. Sebagaimana pesan Dato Seri Tuan Guru Presiden semasa Mukatamar di Ipoh tahun lalu:Sasaran perjuangan kita luas dan bahtera kita menghadapi lautan yang luas.Dalam mendepani perjuangan yang serba mencabar ini yang pentingnya kita tidak karam atau lemas di lautan dunia yang sentiasa bergelombang dan memukul kita ini. Bahtera ini membawa muatan Islam, ia mesti sampai ke destinasi kemenangan, cumanya lewat atau cepat, insyallah kita akan sampai jua, Cuma perlu berhati-hati.PAS tidak rugi di Perak, Pakatan Rakyat juga tidak rugi. Di Kelantan sepanjang-panjang pemerintahan kita apa yang tidak kita hadapi, teringat saya kata Tok Guru sampai perlu menelannya walaupun pahit, tetapi yang pentingnya Islam ini terus ke hadapan.Saya yakin jika esok atau lusa (malah hari ini pun), Nizar dan rakan-rakan turun ke Ipoh atau Teluk Intan atau Lenggong, mana-mana sahaja ceruk di Perak, dengan rekod pentadbiran yang walaupun singkat namun bermakna, rakyat akan keluar menyambut dengan mesra dan baik. Biar rakyat yang menghakimi kita.
Sebagaimana kenyataan Tok Guru MB Kelantan dalam Sinar Harian hari ini, apa yang berlaku adalah hak dan kuasa Baginda, lalu kita terimanya.Kita tidak bertelagah dengan istana apalagi dengan rakyat Perak. Musuh kita adalah orang-orang politik. Sebagaimana pesan Tuan Guru Presiden di Muktamar yang sama:Kita perlu bina parti kita menjadi parti yang perkasa dan diri kita menjadi diri yang perkasa sebagaimana ditunjuk oleh Islam.Ayuh kita merancang dan bekerja untuk mendapatkan kembali mandat rakyat melalui proses demokrasi pada pilihan raya umum ke 13 nanti, rakyat insyallah di belakang kita.
Allahu Akbar!

No comments: