February 09, 2009

CERAMAH SELAMATKAN KERAJAAN PERAK..KEDIAMAN MB DS NIZAR..8 FEB 2009 AHAD 9MLM



Seluruh pekan Ipoh malam tadi mengalami kesesakan yang amat dahsyat akibat sekatan pihak berkuasa disetiap jalan yang menuju ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Ini adalah bagi membendung rakyat daripada menghadiri perhimpunan sokongan serta mendengar ceramah yang diberikan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Namun, itu tidak menghalang kira-kira lebih daripada 35,000 rakyat dari seluruh negara bersama-sama menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya MB Nizar. Biarpun mereka terpaksa meletakkan kenderaan mereka lebih 5 kilometer dan terpaksa berjalan kaki ke kediaman MB, baik yang muda mahupun yang tua tetap sampai juga ke destinasi yang dituju.Lautan manusia yang memenuhi segenap ruang perkarangan kediaman rasmi MB serta ribuan lagi diluar kediaman kerana di dalam telah penuh, menyuntikkan lagi semangat MB Nizar untuk mempertahankan hak dan amanah rakyat negeri Perak.
Kehadiran ibunda tercinta juga seakan merestui perjuangan anakandanya untuk membela hak rakyat. Isteri yang berkorban selama ini bersama-sama MB serta bondanya telah diperkenalkan kepada rakyat dengan tepukan dan sorakan gemuruh menyatakan perhargaan rakyat.
Setiausaha Politik MB, Ust Misbahul Munir mempengerusikan majlis malam tadi. Cikgu Azmi daripada Teras telah memulakan ucapan dengan jaminan sokongan daripada pelbagai NGO yang telah menyediakan Referundem menyatakan sokongan penuh terhadap kerajaan PR untuk diserahkan kepada Sultan Perak.
Ucapan MB Nizar dimulai dengan sorakan dan laungan Takbir rakyat yang hadir yang sekira-kira saya bisa sampai ke telinga puak-puak umno/bn yang bersembunyi di bangunan umno bersebelahan Hotel Casuarina dengan kawalan ketat pihak berkuasa. Tidak mustahil juga jika laungan itu bisa menerobos melalui tirai-tirai besi ke Istana Kinta. MB Nizar menjelaskan perkara sebenar yang membuatkan beliau dilabel sebagai penderhaka kepada Sultan Perak. Pihak umno-lah yang sebenarnya telah mempergunakan Istana kerana mereka tidak mempunyai kekuatan dan keberanian untuk berhadapan dengan PR dan juga rakyat Perak.
Dr Tan Seng Giaw yang mewakili DAP seperti biasa memberikan ucapan yang bersahaja tetapi penuh bermakna menyatakan bahawa Najib tidak diperlukan dinegeri Perak dan hentikan kezaliman terhadap rakyat Perak. Beliau juga membacakan maksud daripada Surah Maryam yang menyatakan tentang orang-orang yang zalim akan merengkok di dalam neraka selama-lamanya.
Tuan Guru Haji Hadi Awang meneruskan ucapan dengan menyatakan penentangan terhadap kezaliman yang dilakukan umno/bn terhadap demokrasi serta hak rakyat untuk memilih kerajaan pilihan mereka secara sah. Beliau juga mengecam tindakan diluar batas perundangan negara yang merampas kuasa rakyat secara rakus sungguhpun belum menjadi PM pada bulan Mac akan datang. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila Najib menerajui pemerintahan negara nanti dan dengan kuasa yang ada tidak mustahil perkara yang lebih teruk daripada ini akan dilakukannya.
Ceramah diteruskan lagi dengan ucapan DS Anwar Ibrahim yang memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Perak (sebagai penasihat pkr) kerana kemelut politik di negeri ini bermula dengan tindakan 2 adun daripada pkr yang melompat keluar. Beliau juga mengecam cara penculikan, ugutan dan jual-beli yang dimainkan umno untuk menjatuhkan kerajaan PR di Perak. Seterusnya beliau menyangkal segala tohmahan yang dilempar umno/bn melalui media kepunyaan mereka.Beliau juga memberikan kepastian bahawa PR telah bersepakat untuk mengekalkan Hj Nizar sebagai menteri besar Perak seandainya PR meneraju kerajaan negeri Perak didalam pilihanraya negeri jika Dun dibubarkan nanti.
Kesimpulan daripada ceramah pimpinan tertinggi PR malam tadi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan MB Nizar sebagai MB Perak yang sah dan akan terus mempertahankan kerajaan pilihan rakyat ini. MB Nizar akan dijadualkan turun menjelajah setiap kawasan dun dinegeri perak bagi menjelaskan terus perkara sebenar kepada rakyat Perak.Kutipan kilat yang diadakan malam tadi bagi membantu mangsa tangkapan tragedi di Kuala Kangsar Jumaat lalu berjaya mengutip melebihi RM13,000-00.

No comments: