PAKATAN Rakyat semalam menafikan dua Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) daripada Kulim dan Pelabuhan Klang telah keluar daripada pakatan itu dan menyertai Barisan Nasional(BN).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali (foto) semalam menafikan ADUN Kulim, Lim Soo Nee akan melompat parti itu. "Saya baru balik dari Kedah di mana isu yang sama Lim Soo Nee nak melompat tapi Lim Soo Nee kata tidak, cuma dalam Pakatan Rakyat dalam kalangan DAP, PAS dan Keadilan kita boleh beri pandangan ... Lim Soo Nee sebagai ADUN Keadilan dia boleh tegur Menteri Besar," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata tanggapan bahawa Lim akan melompat parti adalah mainan politik pihak-pihak tertentu kerana perbuatan Lim menegur Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak memang tidak menjadi masalah di dalam Pakatan Rakyat untuk kebaikan negeri tetapi telah di salah anggap oleh pihak lain sebagai satu pergeseran dan mungkin Lim akan melompat keluar parti.
Ketika ditanya sama ada BN akan menggunakan strategi di Perak untuk menguasai kembali Selangor, Azmin berkata: "Kita kena berhati-hati sebab itu kita nasihatkan Ahli Parlimen dan ADUN pastikan mereka teruskan khidmat mereka untuk rakyat kerana kita tidak ada wang, kita tidak ada sogok, kita tidak ada culik orang, kita tak ugut orang."
Ditanya sama ada PKR akan membuat kawalan terhadap wakil rakyatnya, beliau berkata sejauh mana parti boleh mengawal mereka tetapi yang penting PKR yakin dengan kewibawaan para ADUN dan anggota parlimennya. Azmin berkata ADUN dan anggota Parlimen PKR ada prinsip dan maruah yang akan mereka pertahankan tetapi beliau mendakwa ADUN Bukit Selambau V. Arumugam yang meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu disebabkan tidak tahan dengan tekanan dan ugutan dari Umno dan BN.
Ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan meminta para ADUN atau Anggota Parlimennya menandatangani surat akujanji untuk tidak keluar parti, beliau berkata berdasarkan pengalaman Pakatan Rakyat di Perak kewujudan surat akujanji itu tidak bermakna. Azmin mendakwa surat akujanji yang ditandatangani oleh ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu dan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi yang kini menjadi ADUN Bebas di Perak adalah sah tetapi Suruhanjaya Pilihanraya telah menolaknya.
No comments:
Post a Comment