February 04, 2009

Isu Perak : Siapa main silap mata dalam keputusan SPR ? - Anwar

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Suruhanjaya Piliharaya (SPR) semalam telah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Behrang dan Changkat Jering tidak dikosongkan, oleh itu perletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut tidak sah.

Mengulas keputusan SPR itu, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya menegaskan, tindakan SPR ini menimbulkan persoalan undang-undang yang besar implikasinya.
Beliau berkata, ini kerana kuasa mengisytiharkan pilihan raya kecil ada di tangan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.
"Saya berpendapat kuasa untuk menentukan kesahihan surat tersebut bukanlah di dalam bidangkuasa SPR bahkan ianya harus dirujuk ke mahkamah.
"Kuasa SPR hanya untuk memastikan kelicinan perjalanan proses pilihan raya. Mengapa harus SPR melanggar batas bidangkuasa yang dimiliki Speaker DUN Perak?
"Malah ada pengkaji dan pengamal undang-undang menganggap keputusan SPR bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Nyata sekali Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghalang pilihan raya diadakan kerana bimbang dengan kemaraan rakyat, dakwa Anwar.
"Apa penyudah sebalik semua ini?," soalnya.
Mungkin hanya 'tok dalang' yang pandai bermain 'silap mata' dengan menghilangkan orang tanpa dikesan mampu menjawabnya, katanya sinis.
Semalam, SPR memutuskan dua kerusi Dun Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih disandang oleh wakil-wakil rakyat KeADILan.
Susulan itu tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, kata pengerusinya Dato' Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Dalam mesyuarat khasnya pagi semalam, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.
"Oleh itu, SPR memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihan raya umum ke-12 lepas," kata Abdul Aziz.
"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang-penyandang kerusi berkenaan yang telah dihantar oleh Yang Dipertua DUN Perak itu memandangkkan kedua-dua penyandang kerusi terbabit sendiri secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuatkuasa," tambahnya.
Beliau mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar mengisytiharkan kekosongan dua kerusi itu dengan menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri 2 Februari lalu.
Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa.

No comments: