February 06, 2009

Jamaluddin dan Osman dianggap pengkhianat rakyat

IPOH, 5 Jan (Hrkh) - Tindakan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang meninggalkan KeADILan baru-baru ini dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap pengundi di dua kawasan dun berkenaan.
Lngkah itu juga dilihat mengkhianati perjuangan KeADILan dan Pakatan Rakyat yang menerajui Perak, sejak Mac tahun lalu.
Adun Teja, Chang Lih Kang, yang ditemui Harakahdaily, berkata pihaknya yang kesal dengan tindakan kedua-duanya itu beranggapan bahawa mereka ingin melepaskan diri dari disabitkan dengan tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap mereka.
"Selain itu, tawaran yang diberikan oleh BN kepada mereka juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan mereka bertindak meninggalkan perjuangan Pakatan Rakyat dengan memberi sokongan kepada BN," tegas Lih Kang, di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, di Ipoh sebentar tadi.
Dalam pada itu, wartawan Harakah yang berada di lokasi melaporkan, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa kediaman rasmi Menteri Besar itu akan di'blackout'kan bagi menghalang para penyokong terus berhimpun di situ.
Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun membuat pengumuman kepada para penyokong Pakatan Rakyat agar tidak panik dan bertindak keluar dari kediaman tersebut ke perkarangan kediamannya itu sekiranya bekalan elektrik diputuskan._

No comments: