February 05, 2009

MB Perak masih Nizar Jamaluddin...

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari Khamis tegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan. Katanya, pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar, kerajaan campuran negeri Perak masih lagi sah. Beliau membuat keputusan untuk tidak melepaskan jawatan kerana beranggapan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti kerana tiga ADUN Bebas yang telah mengisytiharkan keluar parti masing-masing bukan ahli BN. Pendirian Nizar ini sudah tentu bertentangan dengan titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menitahkan agar beliau dan Exconya meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta. Titah Sultan Perak itu sesuai dengan peruntukan Fasal 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang menyebut jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama dengan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sultan Perak menitahkan demikian setelah mendapat perakuan daripada 28 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN untuk membentuk kerajaan. Menurut Nizar, beliau akan tetap ke pejabatnya seperti biasa. "Tiada kuasa yang boleh menghalang saya, saya masih Menteri Besar," katanya. Namun, beliau menjelaskan, pendiriannya itu tidak bermakna beliau menderhaka kepada Sultan Perak kerana masih menunggu keputusan mahkamah berhubung dengan kedudukan ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang yang telah dirujuk kepada mahkamah. Nizar juga menegaskan, di bawah Undang-Undang Tubuh negeri beliau mempunyai hak untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Namun, permohonannya itu telah pun ditolak oleh Sultan Perak yang tidak memberikan perkenan kepada cadangan berkenaan.

No comments: