February 10, 2009

Pilihan raya kecil: SPR mesyuarat Jumaat ini

Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini untuk membincangkan mengenai tarikh pilihan raya bagi kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai kekosongan dan langkah-langkah seterusnya termasuk tarikh mengadakan pilihan raya kecil bagi dua kerusi berkenaan.
Bagaimanapun kata beliau, sehingga tengah hari ini, pihaknya belum menerima notis maklumat kekosongan daripada Speaker DUN Kedah dan Speaker Dewan Rakyat.
"Kita belum menerima notis memaklumkan kekosongan dan kita harap menjelang esok kita akan terima.
"Kita sudah tentukan tarikh mesyuarat...tak boleh ditangguhkan," katanya.
Tambah beliau, mesyuarat tersebut akan menentukan kewujudan kekosongam kedua-dua kerusi tersebut.
"Dalam kes Parlimen Bukit Gantang, sudah jelas sebab ia berpunca dari kematian manakala DUN Bukit Selambau, kita akan melihat notis dan dokumen-dokumen yang disertakan," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, 50, meninggal dunia pagi semalam akibat serangan jantung, selepas terjatuh daripada basikal yang dinaikinya ketika dalam perjalanan ke farmasi berdekatan Batu Gajah, Perak.
Sementara itu malam tadi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mengumumkan peletakan jawatan V. Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan Ahli Exco Kerajaan Negeri.
Pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas SPR menerima notis pengosongan kerusi.
Minggu lalu SPR mengumumkan tiada pilihan raya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering walaupun Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan kekosongan.
SPR memutuskan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) kekal sebagai ADUN di kawasan masing-masing kerana wujud keraguan pada surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar kedua-dua ADUN itu kepada Speaker DUN Perak.

No comments: