Feb 15th, 2009
Oleh Wan Hamidi
FEB 15 - Tempoh menanti kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah adalah antara yang paling panjang sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengendalikan pilihan raya terakhirnya pada tahun 1969.
Apabila Suruhanjaya Pilihanraya pada 13 Februari lalu menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi kedua-dua PRK itu, ia membuka ruang berkempen hampir dua bulan lamanya. Penamaan calon adalah pada 29 Mac manakala hari mengundi 7 April depan.
Walaupun begitu, tempoh hampir dua bulan ini hanya bersifat tidak rasmi kerana kempen sebenar tetap pendek. Hanya lapan hari bermula dari penamaan calon hingga tengah malam sebelum hari mengundi.Hanya selepas penamaan calon, pengundi dapat mengetahui siapa calon-calon yang bertanding. Bagi parti-parti pula, hanya pada masa itu poster-poster gambar calon dapat dipasang.
Jadi siapa yang akan untung melalui tempoh menunggu yang lama ini?
Di segi tempoh untuk memujuk dan mempengaruhi pengundi, buat masa ini kelebihan ada pada Pakatan Rakyat. Itu pun dengan syarat bahawa DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat dapat mengambil kesempatan ini untuk bersetuju sebulat suara berhubung parti mana yang akan bertanding dan siapa calonnya.
Jika tempoh ini disia-siakan dengan pertelingkahan siapa kuat dan siapa layak, ia akan memberi ruang kepada Umno dan BN untuk menyerang balas kemudian. Sekarang Umno tidak ada masa untuk menumpukan kepada kedua-dua PRK itu kerana agenda memilih barisan kepimpinan baru mereka pada akhir Mac ini dianggap lebih penting.
Tidak silap dakwaan para pemimpin Pakatan bahawa SPR telah tunduk kepada Umno untuk membolehkan kedua-dua PRK itu diadakan selepas perhimpunan dan pemilihan parti Umno. Lazimnya SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam masa tidak lebih 20 hari selepas kerusi dikosongkan.
Satu lagi sumbangan SPR kepada Umno dan BN ialah menetapkan hari mengundi pada Selasa, iaitu hari bekerja yang sememangnya akan mengurangkan peratus keluar mengundi terutama menyusahkan mereka yang tinggal atau bekerja di luar kawasan kedua-dua PRK berkenaan.
Ini akan terus menjadi cabaran kepada Pakatan kerana bukan hanya mereka terpaksa berhadapan dengan media pro-BN dan penggunaan jentera kerajaan, kini SPR dilihat kembali menyokong Umno dan BN.
Oleh itu peluang keemasan untuk Pakatan Rakyat berkempen lebih awal walaupun secara tidak rasmi bergantung kepada kebulatan suara mereka. Jika terus bergaduh soal parti apa yang mahu bertanding di mana dan siapa calonnya, masa akan terbuang begitu sahaja.
Selama ini tempoh berkempen yang singkat banyak memberi manfaat kepada BN. Tempoh kempen yang pendek menjelma apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memegang tampok pemerintahan negara. Dengan menggunakan alasan keselamatan, beliau memulakan kempen pilihan raya umum pertamanya sebagai perdana menteri pada 1982 dengan membenarkan hanya 15 hari; ini diikuti dengan 10 hari pada 1986, 1990 dan 1995, dan dipendekkan lagi kepada 9 hari pada 1999.
Penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengikut jejak langkahnya dengan mengurangkan lagi kepada 8 hari pada 2004. Hanya dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, tempoh kempen ditingkatkan kepada 13 hari.
Sedangkan pada era di mana ancaman komunis sangat membimbangkan dan hubungan kaum amat rapuh sepanjang 1950-an hingga akhir 1960-an, tempoh kempen begitu lama sekali. Sebelum Merdeka, kempen pilihan raya persekutuan adalah 42 hari manakala pilihan raya umum 1959 hingga 1969 adalah 35 hari.
Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih pemerintahan selepas tragedi 13 Mei 1969, beliau memendekkan tempoh kempen kepada 16 hari dan ini turut diteruskan oleh penggantinya Tun Hussein Onn.
Itu semua tempoh kempen rasmi. Ruang kempen secara tidak rasmi yang bermula sebaik sahaja parlimen dan DUN dibubarkan pula adalah hampir dua bulan di sepanjang era Tunku. Ia berkurangan kepada 25 hari pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein. Sejak itu hingga hari ini hanya beberapa belas hari sahaja.
Mengapa pembangkang marah dengan tempoh kempen yang singkat?
Sejak berpuluh tahun lamanya bekas Ketua Pembangkang Lim Kit Siang telah menyimpulkan dengan ungkapan 3M iaitu money, media and machinery (wang, media dan jentera kerajaan) yang telah disalahgunakan oleh Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya.
Sehingga hari ini amalan itu diteruskan. Kempen pilihan raya yang singkat sudah pasti melupuskan peluang pembangkang untuk menjangkau lebih ramai pengundi sedangkan BN, sebagaimana yang diketahui umum, mempunyai tukang kempen seperti RTM, Jabatan Penerangan dan Bernama serta media arus perdana yang taat setia kepada para pemimpin Umno dan BN yang dapat menyusup jauh ke ulu dan pedalaman.
Politik wang yang melanda Umno sekarang sebenarnya berpunca dari pemberian rasuah politik dalam bentuk janji pembangunan dan kelulusan segera projek kampung di samping hadiah-hadiah tunai untuk pengundi memilih BN sewaktu PRU dan PRK. Beratus-ratus laporan polis dan laporan kepada SPR telah dibuat tetapi amat jarang tindakan diambil.
Jentera kerajaan, bukan sekadar Jabatan Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dibiayai sepenuhnya oleh wang cukai rakyat, tetapi juga agensi-agensi lain hampir kesemuanya berkempen untuk BN.
Keadaan itu sering menyulitkan pembangkang untuk membuat sebarang impak kerana kempen pilihan raya yang amat berat sebelah. Sehinggakan pengamal media arus perdana yang memberi ruang liputan berita dan rencana 90% untuk BN dan 10% untuk pembangkang dengan bangganya menganggap ia sebagai sesuatu yang adil.
Begitu juga tindakan pihak berkuasa merampas puluhan ribu naskah akhbar terbitan parti-parti komponen Pakatan Rakyat baru-baru ini yang turut dilihat sebagai usaha menekan dan menindas hak kebebasan bersuara, terutamanya dalam menghadapi dua PRK ini.
Jika Pakatan dapat menyelesaikan masalah siapa yang bertanding di mana dalam masa beberapa hari ini, ia sudah pasti memberi kelebihan besar kerana mereka mampu menemui seramai mungkin pengundi dalam tempoh yang ada sekarang.
Jika tidak, ia sekali lagi terpaksa berhadapan dengan jentera BN yang masih menyalahgunakan wang dan mandat rakyat untuk meraih kuasa dengan cara-cara yang tidak bermoral dan jijik.
Walaupun secara tidak rasminya penantian yang lama untuk kedua-dua PRK itu dilihat menguntungkan Pakatan, ia tidak memberi apa-apa makna jika kesempatan tidak diambil dari sekarang.
No comments:
Post a Comment