February 10, 2009

Waran tangkap keatas ADUN Changkat Jering

Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA, mStar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kawasan Changkat Jering dan Behrang, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi gagal menghadirkan diri untuk perbicaraan kes rasuah mereka yang dijadualkan hari ini.
Oleh yang demikian satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Osman.
Beberapa panggilan yang diterima mStar Online memaklumkan Osman kini dimasukkan ke hospital.
Namun usaha untuk menghubungi Osman bagi mendapatkan pengesahan masih gagal.
Selain Osman, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkat terhadap ahli perniagaan Usaili Alias.
Sementara itu menurut peguam Jamaluddin, anak guamnya tidak dapat hadir kerana menghadapi masalah kesihatan dan surat sakit juga telah dikemukakan kepada pihak mahkamah.
Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos lalu kerana dikatakan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).
Osman dan Jamaluddin sebelum ini merupakan ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun mengumumkan untuk keluar daripada parti itu minggu lalu menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN)..
Selain itu, ADUN Jelapang, Hee Yit Fong daripada DAP turut mengumumkan keluar parti dan menyokong BN.
Pada masa yang sama, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar PKR dan kembali ke pangkuan Umno, sekali gus menyebabkan Pakatan Rakyat kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan BN kembali menguasai negeri itu.
Dalam pada itu, Osman dan Jamaluddin dilaporkan turut tidak kelihatan di majlis mengangkat sumpah barisan Exco baru Perak yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, pukul 10 pagi ini.

No comments: