September 02, 2008

Selangor Tidak Iktiraf JKKKP, 366 Ketua Kampung Terima Surat Pelantikan

SHAH ALAM, 30 Ogos - Selangor mengulangi pendirian tidak akan mengiktiraf kewujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di negeri ini.
Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa serupa di peringkat negeri sudah diwujudkan oleh kerajaan negeri, jadi jawatankuasa yang tidak berkaitan dengannya tidak akan diiktiraf.
"Kita hanya berikan keutamaan kepada organisasi kerajaan negeri untuk menggunakan kemudahan fasiliti seperti dewan orang ramai," katanya ketika diminta mengulas yang JKKKP tidak akan dibenarkan menggunakan segala kemudahan milik kerajaan negeri.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan surat pelantikan kepada 366 ketua kampung tradisi negeri Selangor di Wisma PKPS, di sini tengah hari ini.Menurut beliau, lantikan ketua kampung terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri yang mana ketua kampung adalah di bawah kelolaan penghulu yang juga dilantik oleh kerajaan negeri.Tambahnya, kewujudan dua jawatankuasa serupa hanya akan membazirkan wang pembayar cukai."Kita harap kerajaan persekutuan tidak akan bazirkan wang pembayar cukai...rakyat Selangor membayar kadar cukai yang tinggi berbanding rakyat di negeri-negeri lain," katanya.Jelasnya, pengurusan wang pembayar cukai perlu dilakukan dengan betul bagi mewujudkan perkhidmatan yang cekap dan telus.Sementara itu, Abdul Khalid berharap ketua kampung yang dilantik akan dapat menjalankan tugas untuk semua kaum tanpa mengira fahaman politik."Kita hendak cari mereka yang sanggup bekerja, tidak membezakan perkhidmatan mereka antara rakyat, maknanya tidak kira parti atau etnik."Kita gembira hendak mengatakan kepada orang ramai yang kita tidak melantik orang yang hendak menjadi ketua kampung kepada komuniti-komuniti tertentu sahaja," katanya.Semua ketua kampung yang dilantik akan melalui tempoh percubaan selama enam bulan untuk disemak dan dinilai oleh pejabat daerah, selain tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam parti.Dalam tempoh itu, senarai nama ketua kampung terbabit akan dihantar untuk tapisan keselamatan oleh pihak polis bagi memastikan mereka mempunyai rekod bersih.

(Dari Selangor Maju Web)

No comments: