February 09, 2009

Bukit Gantang: SPR putus tarikh pilihan raya kecil sebaik dimaklum Parlimen


Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan soal pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak sebaik sahaja menerima notis makluman kekosongan daripada Parlimen.
"Sebaik sahaja SPR dimaklumkan oleh Speaker Parlimen mengenai kekosongan yang wujud, kami akan memanggil mesyuarat dan memutuskan langkah-langkah sewajarnya termasuk tarikh pilihan raya kecil," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi sebentar tadi.

Pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan wujud.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum dari PAS meninggal dunia pagi ini ketika sedang menunggang basikal dipercayai kerana sakit jantung.

Ia merupakan pilihan raya kecil yang ketiga sejak pilihan raya umum Mac lalu - selepas kerusi Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kerusi Permatang Pauh dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Kuala Terengganu pula oleh PAS menerusi Mohd. Abdul Wahid Endut. Kedua-duanya wakil Pakatan Rakyat. Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan bulan lalu.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi. Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi. Bahagian Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Changkat Jering, Kuala Sapetang dan Trong.

Di Perak, BN menguasai 13 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat pula 11 kawasan.

No comments: