February 09, 2009

Protes pembentukan kerajaan BN berterusan -Sinar harian 9 Feb 2009 Isnin



IPOH - Rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan merampas pemerintahan daripada Pakatan Rakyat (PR) masih berterusan di kalangan rakyat Perak di sini. Terbaru, seramai 300 orang mengadakan upacara memasang lilin tanda ‘berkuburnya demokrasi’ di Jalan Sultan Iskandar Shah, luar bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yuk Choy, tempat berlangsungnya majlis sambutan Tahun Baru Cina dan Ramah Mesra bersama rakyat.
Kejadian berlaku pada malam Sabtu yang sepatutnya dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi hanya dihadiri Menteri Besar Perak ke -11, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir. Kehadiran beliau disambut dengan ejekan dan bunyi ‘boo’ oleh mereka yang berkumpul di perkarangan sekolah itu sejak jam 7 malam. Bagaimanapun keadaan dapat dikawal oleh anggota keselamatan yang bertugas. Manakala pada pagi Ahad, sekumpulan ahli DAP telah berkumpul di sekitar pasar di Jelapang dalam menjayakan kempen mengumpul tandatangan pengundi untuk menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Hit Foong meletak jawatan.
ADUN Pasir Pinji, Su Keong Siong yang menguruskan kempen itu berkata, dalam masa satu jam, sejumlah 600 tandatangan telah dikumpulkan dan kempen itu akan diteruskan untuk satu minggu. “Kami akan mengumpulkan sebanyak mana tandatangan daripada pengundi DUN Jelapang dan salinan tandatangan itu akan kami hantar kepada Sultan Perak, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Hit Foong sendiri atau ibunya dan kerajaan BN,” katanya. Untuk Rekod DUN N31 Jelapang mempunyai 26,157 pengundi berdaftar dan Hit Foong memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN dan calon Bebas dengan majoriti 6,707 undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac tahun lalu.
Sekitar jam 11 pagi pula, sekumpulan 50 anggota Pergerakan Pemuda Sosialis DAP dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor telah mengadakan protes di depan bangunan Darul Ridzuan, sebagai membantah kerajaan baru Barisan Nasional (BN) yang bakal dibentuk Selasa ini. Bantahan yang diketuai ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berlangsung selama 10 minit dengan laungan ’Hidup Rakyat’ dan ‘jatuh UMNO dan BN’. Mereka juga membawa sepanduk katak berwarna biru dengan simbol dacing BN. Dalam sidang medianya di ibu pejabat DAP Perak, Anthony berkata, kerajaan BN tak perlu ada kerana tidak mendapat mandat dari rakyat dan mencabar Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak dibubarkan dan pilihan raya diadakan semula seperti yang dikehendaki oleh rakyat. “Tindakan merampas kuasa ini boleh mematikan amalan demokrasi di Malaysia," kata ADUN Lobak ini.
Beliau juga mencabar MCA menyatakan pendiriannya mereka mengenai penubuhan baru BN di Perak “Hanya ada seorang wakil MCA dalam kerajaan BN Perak iaitu ADUN Chenderiang, Mah Hang Seon dan sudah pasti beliau akan dilantik menjadi Exco, tetapi jika beliau menerima lantikan itu, maknanya MCA juga setuju dengan rampasan pemerintahan Perak dari tangan PR dan meruntuhkan sistem demokrasi negara,” katanya. Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, ADUN Teratai Jenice Lee dan Anggota Parlimen Julutong, Jeff Ooi. Dalam ucapan ringkasnya Nizar yakin jika pilihan raya semula diadakan di Perak, BN akan dapat ditumbangkan dengan mudah oleh PR.

No comments: