February 05, 2009

Cubaan Merampas Kerajaan Perak - Last Kopeq Najib!

Pada September tahun lepas, saya menulis bahawa penahanan ISA YB Teresa Kok dan YM Raja Petra Kamaruddin sebagai ‘last kopeq’ UMNO bagi menyelematkan kepimpinan politik mereka.
Peristiwa terbaru merampas Kerajaan Negeri Perak kini membuktikan ini pula last kopeq Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjamin masa depannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Selepas BN mendapat tamparan hebat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Najib mengetuai kempen pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu Permatang Pauh pada Ogos dan Kuala Terengganu pada Januari 2009. BN kalah kedua-duanya.
Akhirnya, pertaruhan terakhir mereka ialah dengan cara ini. Mereka begitu ‘desperate’ sehingga terpaksa mengambil dua orang exco Perak yang dituduh rasuah oleh BN sendiri. Persoalannya: jika kini mereka katakan tuduhan tersebut direka-reka, maka benarlah dakwaan Pakatan selama ini. Dengan perkembangan terbaru, jelas, ia digunakan untuk menekan kedua-dua exco ini. Tetapi jika kedua-dua exco tersebut didapati bersalah, maka ini menunjukkan BN sanggup menerima wakil rakyat yang didapati terlibat dalam rasuah semata-mata untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Perak.
Affidavit pemimpin Keadilan Perak, Fauzi Muda, bahawa bekas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin membawa beliau bertemu Najib sejurus selepas 8 Mac 2008 kini diakui benar oleh Zainal sendiri. Cuma apabila ditanya mengenai kenyataan Fauzi bahawa Najib menawarkan RM50 juta untuk memastikan kerajaan negeri Perak tumbang, Zainal cuma menyatakan beliau tidak mendengar perbincangan tersebut.
Malah, tindakan sesetengah pihak memerangkap Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang baru meninggalkan BN menunjukkan kini mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan last kopeq mereka berjaya.
Ugutan, rasuah dan penculikan bukanlah cara menukar kerajaan.
Sebentar tadi saya bersama YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Keadilan lain. Pesanan beliau kepada semua:
Pertahankan Kuasa Rakyat - Saya bersama Menteri Besar dan Pemimpin Pakatan Rakyat esok Khamis 7:30 malam di Ipoh. Saya yakin, Insyallah rakyat yang menentukan.
Ayuh, mari ke sana beramai-ramai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri Perak. Sehebat-hebat perancangan manusia, perancangan Allah jua yang akan menentukan segala-galanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Sirul Azhar Umar mendakwa di mahkamah semalam, beliau dikambinghitamkan bagi menyelamatkan pihak berkuasa.

Nik Najmi - SETPOL MB

No comments: