February 15, 2009

MB Sokong Titah Sultan Selangor


Saturday, 14 February 2009 SHAH ALAM, 14 Februari - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau bersetuju dengan pendapat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung perlunya rakyat di negara ini menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk peranan institusi raja.
Dato’ Menteri Besar berkata apa yang dinyatakan baginda dalam kenyataannya semalam adalah pandangan baginda dari segi untuk menentukan bahawa negara Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.
“Saya setuju dengan pendapat tuanku untuk mengingatkan masyarakat Malaysia bahawa perlembagaan negara ialah perlembagaan beraja dan juga perlembagaan negeri Selangor juga perlembagaan beraja, jadi sebab itu adalah (perlu) tata tertib dari segi bagaimana cara untuk berhubung dan mengadakan interaksi dengan istana,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peringkat keenam Le Tour de Langkawi yang bermula dari Batang Kali ke Shah Alam tengah hari ini.
Sultan Selangor dalam satu kenyatan khas semalam bertitah perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa kepada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan baginda.
“DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman baginda, sesuai dengan kedudukan baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara.
“Baginda dan keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana isu yang bersabit,” titah baginda.
Baginda bertitah kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya ‘mob’ amat memalukan.
Baginda turut menasihatkan kepada mereka yang berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi raja-raja, supaya menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.
“Beta terus berdoa agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan yang seterusnya,” titah baginda lagi dalam kenyataan itu.- NOOR ALLIA KASSIM

No comments: