February 07, 2009

Pyrrhic victory’ BN di Perak — Khalid Jaafar

FEB 6 — Mari kita panjangkan renungan, jauh sehingga ke tahun 280 SM. Raja Pyrrhus dari Epirus menumpas tentera Romawi dalam dua pertempuran. Raja Pyrrhus amat gembira dengan kemenangan itu. Tetapi apabila dilaporkan begitu ramai tenteranya yang mati untuk mendapat kemenangan tersebut raja itu berkata: "Sekali lagi kita mendapat kemenangan seperti ini kita akan musnah."
Bedanya antara Raja Pyrrhus dengan Najib adalah, raja itu tahu bagaimana bahayanya kemenangannya, tetapi Najib melihatnya sebagai kemenangan besar Umno. Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah belajar dan tidak mahu belajar.
Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tentunya patah hati semalam, hari ini dan beberapa hari yang akan datang. Kepada mereka yang bersifat begitu, belajarlah dari semangat tentera Romawi. Sebenarnya jumlah tentera Romawi lebih ramai yang gugur dari tentera Pyrrhus. Mereka tidak putus harapan. Sejarawan Plutarch mengulas:
"Not at all abating in courage for the loss they sustained, but even from their very anger gaining new force and resolution to go on with the war… Romans lost more men than Pyrrhus did. However, the Romans had a much larger supply of men from which to draw soldiers, so their losses did less damage to their war effort than Pyrrhus's losses did to his."
Renung juga dialog antara Abu Sufyan dengan Herkules, gabenor Rom di Syria. Sewaktu Herkules menerima surat dari Nabi Muhammad SAW, Herkules memanggil Abu Sufyan untuk mendapat maklumat tentang agama dan gerakan yang dibawa oleh Rasulullah.
Herkules: "Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau orang miskin?"
Abu Sufyan: "Orang miskin."
Herkules: "Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?"
Abu Sufyan: "Bertambah."
Herkules: "Bagaimana perang antara kamu dengan dia?"
Abu Sufyan: "Ada kala kami menang, ada kala dia."
Kita tidak akan menang dalam setiap pertempuran, tetapi insya Allah, kita akan dapat kemenangan keseluruhan. Rasulullah menang dalam perang Badar, tewas dalam perang Uhud, tidak menang dan tidak kalah dalam perang Khandak. Tetapi dalam kalah dan menang dalam pertempuran, jumlah yang menyertai Islam terus bertambah.
Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU12, menang besar di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Semua kemenangan ini dengan dokongan rakyat. Apakah BN menang di Perak? BN dapat sebuah negeri tetapi akan kehilangan lebih besar sokongan dari rakyat kerana taktik kotor yang dipakai -ugutan dan habuan. Kemenangannya adalah satu Pyrrhic victory, atau lebih kosong dari itu.
Rakyat mengajar BN pada 8 Mac yang lalu dengan menafikan majoriti 2/3 dan empat kerajaan negeri. Akuilah, sebahagian rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat bukan kerana mereka percaya kepada PKR, DAP atau Pas. Mereka ingin mengajar Umno agar jangan sombong. Mereka berharap dengan tamparan tersebut mereka akan belajar dan melakukan perubahan. Apa yang berlaku di Perak jelas bahawa Umno tidak mahu belajar. Umno hanya mahukan kuasa. Sedangkan rakyat mahu Umno-BN berubah dan kalau mereka berubah dan mengambil iktibar rakyat akan mengembalikan keyakinannya.
Sekarang jelas Umno tidak menerima keputusan rakyat dan tidak mahu belajar seperti yang dikehendaki oleh rakyat. Mereka hanya mahukan kuasa dengan apa cara sekalipun.
Apakah yang perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Perak? Sekarang mereka tidak lagi dibebankan dengan urusan pentadbiran. Mereka perlu sepenuh masa bersama rakyat. Kuasa muktamad adalah di tangan rakyat. Cek Umno hanya boleh membeli beberapa orang pemimpin dan ugutannya hanya boleh menakutkan pemimpin yang berjiwa kerdil.
Insya Allah, kemenangan itu hampir.
— anwaribrahimblog.com

No comments: