February 14, 2009

Rakyat anggap tarif elektrik yang baru memperbodohkan mereka

Abdul Aziz Mustafa Sat Feb 14, 09
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Keengganan kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menghentikan bebanan yang mesti ditanggung oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyara penjana tenaga bebas (IPP) akan terus menyebabkan rakyat terbeban dengan kadar tarif elektrik yang tidak munasabah, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Penurunan kadar tarif elektrik baru-baru ini dianggap memperbodohkan mereka oleh rakyat berbanding dengan kenaikan mendadak sebanyak 26 peratus pada Julai tahun lalu.
"Ketika harga pasaran minyak dunia kini berlegar RM40 setong berbanding RM140 setong sebelum ini dan harga arang batu telah menurun sejajar kejatuhan harga minyak dunia, rakyat terus dipaksa membayar tarif elektrik yang tinggi kerana TNB terpaksa membayar sehingga RM12 bilion sebulan pada kepada IPP tidak kira sama ada tenaga yang dijanakan itu digunakan atau tidak," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, pembayaran tersebut melibatkan hampir 70 peratus daripada jumlah pembayaran TNB dan "bukan TNB yang menanggungnya tetapi pengguna termasuk rakyat miskin yang terpaksa membayar tarif elektrik yang sengaja tidak dikurangkan pada kadar yang sewajarnya semata-mata untuk menanggung biawak hidup".
Kadar tarif elektrik, katanya lagi, sepatutnya jauh lebih rendah kerana permintaan pengguna sudah berkurangan 10 peratus sejak Disember tahun lalu.
"Malah, TNB sendiri pernah mengumumkan kemungkinan penutupan dua janakuasanya kerana permintaan yang berkurangan tetapi pada masa yang sama poket dan hati rakyat terus disakiti semata-mata untuk membayar kepada IPP walaupun TNB tidak perlu langsung membeli kuasa yang mereka janakan," katanya.
Mahfuz mengecam kerajaan yang terus membiarkan IPP menjadi lintah darat dan rakyat terus menjadi mangsa.
"Kerajaan sepatutnya mengemukakan rang undang-undang mengenai apa yang disebut 'unfair business and trade practices' untuk membolehkan perjanjian antara TNB dan IPP malah banyak lagi perjanjian lain yang merugikan rakyat dikaji semula," katanya.
Beliau juga mengecam sikap kerajaan yang enggan mengkaji perjanjian dengan IPP malah termasuk dengan pemegang-pemegang konsesi tol semata-mata kerana kerajaan tidak mahu menjejaskan keuntungan mereka dan menjejaskan pembayaran mereka kepada bank dan pemegang bon.
Kerajaan, katanya, hanya mengutamakan kepentingan golongan kapitalis sahaja dan membiarkan rakyat terus terseksa membayar kadar tarif elektrik dan tol yang tinggi.
Dengan beban pembayaran yang ditanggung oleh TNB yang kemudiannya dibebankan pula kepada pengguna termasuk rakyat miskin, Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh baru-baru ini berkata: "Saya kena pukul, marah 10 kali pun tarif tidak boleh turun. Kos yang TNB masih bayar masih tinggi".

No comments: