February 09, 2009

Saman Sultan hak Karpal :: Nizar-Sinar Harian ..Isnin 9 Februari 2009


IPOH - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyerahkan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini berhubung pelantikan Menteri Besar baru. Beliau yang menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Arulmigusubramania, Gunung Cheroh di sini, semalam berkata, ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berhak untuk membuat apa yang diingininya dan terpulang kepada beliau. Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan, ADUN Buntong, Sivasubramaniam dan ADUN Bercham, Sum Cheok Leng.
Dalam ucapannya, Mohammad Nizar meminta penyokong Pakatan Rakyat (PR) tidak bertindak di luar batasan, bertenang dan tidak membuat sesuatu yang mengganggu masyarakat serta menjejaskan keamanan rakyat. Mengulas mengenai tindakannya yang dikatakan menderhaka kepada Sultan, beliau menafikan kenyataan itu dan berkata, sebagai Ketua Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau hanya mempertahankan haknya mengikut perlembagaan Perak. “Saya bukan tidak setuju dengan Istana, tetapi hanya nak hak rakyat untuk membubarkan DUN dan buat pilihan raya,” katanya. Beliau berkata, beliau tidak keliru dengan undang-undang sebaliknya menyatakan Barisan Nasional yang keliru dengan undang-undang. Manakala Kit Siang pula meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk campur tangan bagi menyelesaikan krisis politik di negeri ini demi kepentingan rakyat.
Terdahulu semasa lawatan Nizar itu, seorang jurugambar akhbar Oriental Daily, Tang Cheong Hoong, 26 ditumbuk oleh individu yang tidak dikenali. Cheong Hoon mengalami kecederaan di dahi kiri dan dagu. Ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu, Nizar berkata, beliau melahirkan rasa sedih atas kejadian itu dan menggesa rakyat agar bertenang dan tidak bertindak keterlaluan.

No comments: