February 12, 2009

Kajian: 97 peratus rakyat Perak mahu DUN dibubarkan

Nyza Ayob Thu Feb 12, 09
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi.
Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.
Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.
"Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.
"Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.
Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.
Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.
"Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.
" Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya.
Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu.

No comments: