February 14, 2009

Khir Toyo, tiga Ketua Pemuda UMNO ditahan.. Demonstrasi bukan budaya UMNO..hahaha


@utusanpenang@utusan.com.my
MOHD. Khir Toyo (dua dari kiri) dihalang oleh polis semasa cuba menghantar memorandum bantahan kepada Karpal Singh di kediaman Karpal di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 13 Feb. – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo ditahan oleh polis ekoran tindakannya cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh di kediamannya di Jalan Kebun Bunga hari ini.
Beliau bersama tiga Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan pemandunya ditahan di Taman Belia di sini pada pukul 3.15 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan dibebaskan sejurus keterangan mereka diambil.
Tiga yang lain ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Hasbul Hazani Daud dan Ketua Pemuda UMNO Kulim Bandar Baru, Mohd. Mustaffa Kamal Sheikh Ismail.
Difahamkan, Mohd. Khir sebelum itu menyertai sekumpulan lebih 500 orang pada perhimpunan aman di Jalan Kebun Bunga untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Karpal yang mahu menyaman Sultan Perak.
Bagaimanapun perhimpunan tersebut terpaksa dibatalkan dan dileraikan oleh polis pada pukul 2.45 petang kerana tidak mendapat permit.
Sebanyak 15 bas yang membawa penyokong kumpulan itu turut disekat daripada mendekati kediaman Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lebih 300 anggota dan pegawai polis termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di hadapan rumah Karpal dan sekitarnya.
Polis turut mengadakan sekatan di kedua-dua arah di Jalan Kebun Bunga menuju ke rumah Karpal.
Mohd. Khir pada sidang akhbar selepas itu berkata, kereta yang dinaiki beliau bersama tiga ketua pemuda bahagian ditahan oleh polis semasa perjalanan pulang selepas berhimpun dan kemudian diminta bersurai oleh polis.
“Saya kebetulan berada di sini dan dijemput menghadiri perhimpunan untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Karpal di rumahnya bersama-sama 500 yang lain.
‘‘Tindakan ini kerana kami semua sudah tidak dapat tahan sabar lagi.
“Masalah Karpal ini tidak boleh disimpan kerana tindakannya mahu menyaman Sultan Perak merupakan satu kesalahan besar dan beliau sebagai seorang peguam senior patut tahu mengenai perkara ini,” katanya di Padang Brown di sini.
Beliau memberitahu, bantahan seumpama itu akan diadakan secara berterusan selagi Peguam Negara tidak mengambil tindakan dan memberi jaminan untuk membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.
Mohd. Khir menjelaskan, telah banyak laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang bertentangan dengan Fasal 32 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut fasal itu, katanya, mana-mana sultan atau raja Melayu tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas Raja-Raja.

No comments: