Selasa, 10 Feb. 2009.
Perak masih menjadi tumpuan. Ada tiga peristiwa penting yang berlaku hari ini. Di Kuala Kangsar, istana meneruskan majlis angkat sumpah enam exconya. Di Mahkamah Tinggi Ipoh, dua exco tidak hadir kerana sakit secara bersama lagi. Di Ipoh juga MB Nizar dihalang daripada memasuki pejabatnya di SUK. Beliau pulang semula ke kediaman MB dengan mengistiharkan bahawa pejabat MB Perak telah berpindah ke kediaman MB berkuatkuasa serta merta.
Melalui siaran buletin TV3, PM Lah telah memberi isyarat jelas supaya MB Nizar mengosongkan kediaman MB Perak seberapa segera. Entah di mana pula pejabat baru MB selepas ini. Mungkin di Kamunting atau di ceruk-ceruk kampung bersama rakyat. MB Nizar akan terus mentadbir dan mengurus rakyat tanpa perlukan wang dan penguatkuasa. Tinggallah Camry bersama Zambry. MB Nizar akan buktikan kepada UMNO bahawa wang bukan segala-galanya. Rakyat setia yang bersama MB Nizar tidak mengharapkan wang atau elaun tertentu untuk mengajak rakyat mengesakan Allah. Ketentuan Allah ini disambut dengan sabar sebagaimana kehendak tuanku sultan. Titah dijunjung bersambut usaha. MB Nizar dan rakyat tuanku akan berkelana di dalam negeri mencari dan mendapatkan rajawali untuk dipersembahkan kepada tuanku.
… Burung rajawali boleh hidup sehingga usia 70 tahun. Ketika burung rajawali mencapai usia 40 tahun, dia harus melakukan transformasi tubuh yang sangat menyakitkan. Rajawali sendiri yang menentukan sama ada dia mahu hidup 30 tahun lagi atau cukup setakat usia 40 tahun. Ini kerana pada usia 40 tahun, paruh rajawali sudah sangat bengkok dan panjang hingga ke leher yang menyukarkannya untuk makan dan mencari makan. Kuku cakarnya tidak lagi tajam. Begitu juga dengan bulu badan dan kepak yang sangat tebal sehingga menyukarkannya untuk terbang tinggi.
Apabila rajawali memutuskan untuk hidup lebih lama lagi, ia harus melakukan transformasi tubuh yang amat menyakitkan. Rajawali terbang dan membuat sarang di kawasan puncak pergunungan yang tinggi dan berbatu. Rajawali akan mematuk-matuk paruhnya pada batu sehingga paruhnya patah dan tercabut daripada tubuh. Paruh baru yang tumbuh akan memudahkan rajawali mencabut kukunya satu persatu. Sementara menunggu kuku barunya tumbuh, Rajawali akan mencabut bulu kepaknya pula sehingga togel. Setelah bulu kepaknya kembali tumbuh, rajawali akan pulang semula ke kawasan pemakanan untuk menjalani semula kehidupan normalnya. Inilah transformasi yang menyakitkan tubuh rajawali dalam tempoh setengah tahun…
Kami rakyat pimpinan MB Nizar akan pulang sebagai rajawali untuk menjunjung kembali titah tuanku. Kami rakyat MB Nizar berjanji akan mendaulah dan mendaulatkan kembali tuanku melalui bicara raja-raja Melayu zaman berzaman. Tuanku adalah payung negeri. Tuanku adalah sultan kami. Tiada terlintas langsung di hati kami untuk memberontak, jauh sekali untuk menderhaka.
No comments:
Post a Comment